Categories
SUKANKINI

Beregu lelaki dan campuran negara mara suku akhir Siri Super Terbuka India

SHAHA ALAM, 31 MAC: Beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pasangan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir Siri Super Terbuka India di Stadium Tertutup Siri Fort, di New Delhi.

Laman web Persekutuan Badminton Dunia, www.bwfbadminton.org memaparkan V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan utama kejohanan mara selepas menewaskan gandingan Malaysia/Indonesia, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan (21-10, 21-17) pada pusingan kedua.

Mereka bakal berdepan naib juara Seluruh England, Li Junhui-Liu Yuchen dari China yang menyingkirkan pilihan kelima, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark (21-12, 23-21), pada suku akhir, hari ini.

badminton campuranSementara itu, lapor BERNAMA, Peng Soon-Liu Ying yang juga beregu campuran nombor satu negara mara selepas menundukkan gandingan Indonesia, Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja (21-11, 21-19).

Mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara Kim Gi Jung-Shin Seung Chan dari Korea Selatan yang menewaskan Mathias Christiansen-Sara Thygesen dari Denmark (15-21, 22-20, 21-19), pada peringkat suku akhir.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam tiga acara lain iaitu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$325,000 (RM1.436 juta) itu.

Juara tiga kali Terbuka India, Datuk Lee Chong Wei turut tidak mengambil bahagian untuk memberi tumpuan bagi menjuarai Terbuka Malaysia buat kali ke-12 di Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini.

-NFN-