Categories
AGENDA SUKANKINI

Beregu lelaki mara ke suku akhir Olimpik 2020

TOKYO, 27 JULAI: Pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke suku akhir Olimpik Tokyo 2020 selepas mengalahkan pasangan Jason Ho-Shue-Nyl Yakamura dari Kanada, malam ini.

Pasangan nombor lapan dunia itu, tidak menghadapi banyak masalah dalam mengetepikan cabaran pasangan ke-32 dunia, pada perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sports Plaza, di sini.

Lepas tewas 16-21, 19-21, kepada juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dalam perlawanan kedua mereka semalam, Aaron-Wook Yik mengawal keseluruhan perlawanan hari ini untuk memenangi perlawanan dalam masa 33 minit.

Aaron-Wooi Yik memulakan cabaran kali pertama mereka di Olimpik pada Sabtu, dengan mengalahkan pasangan Korea Selatan Choi Sol-gyu-Seo Seung-jae 22-24, 15-21.

Terdahulu, pasangan pilihan kedua Ahsan-Hendra mengalahkan pasangan Korea itu 21-12,19-21, 21-18, dalam satu lagi perlawanan untuk mengungguli Kumpulan D, selepas memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Aaron-Wooi Yik, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, di tempat kedua selepas menang dua kali dan tewas sekali.

Peringkat suku akhir dijadualkan pada Khamis (29 Julai).

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Beregu lelaki dan campuran negara mara suku akhir Siri Super Terbuka India

SHAHA ALAM, 31 MAC: Beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pasangan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir Siri Super Terbuka India di Stadium Tertutup Siri Fort, di New Delhi.

Laman web Persekutuan Badminton Dunia, www.bwfbadminton.org memaparkan V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan utama kejohanan mara selepas menewaskan gandingan Malaysia/Indonesia, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan (21-10, 21-17) pada pusingan kedua.

Mereka bakal berdepan naib juara Seluruh England, Li Junhui-Liu Yuchen dari China yang menyingkirkan pilihan kelima, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark (21-12, 23-21), pada suku akhir, hari ini.

badminton campuranSementara itu, lapor BERNAMA, Peng Soon-Liu Ying yang juga beregu campuran nombor satu negara mara selepas menundukkan gandingan Indonesia, Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja (21-11, 21-19).

Mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara Kim Gi Jung-Shin Seung Chan dari Korea Selatan yang menewaskan Mathias Christiansen-Sara Thygesen dari Denmark (15-21, 22-20, 21-19), pada peringkat suku akhir.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam tiga acara lain iaitu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$325,000 (RM1.436 juta) itu.

Juara tiga kali Terbuka India, Datuk Lee Chong Wei turut tidak mengambil bahagian untuk memberi tumpuan bagi menjuarai Terbuka Malaysia buat kali ke-12 di Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini.

-NFN-