Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia diramal bergerak antara 1,700 dan 1,720 mata

KUALA LUMPUR 5 MAC: Bursa Malaysia dijangka tidak banyak berubah dan mendatar minggu depan dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak antara 1,700 dan 1,720.

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment, Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pasaran juga diunjur didagangkan berhati-hati minggu depan setelah dagangan lengang sejak dua minggu lepas.

“Tumpuan pasaran kini pada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS pada 14 dan 15 Mac, setelah terdapat kemungkinan kadar faedah AS akan dinaikkan pada Mac,” katanya lapor BERNAMA.

Nazri berkata, petunjuk teknikal juga menunjukkan momentum lemah yang akan menyebabkan pasaran tidak banyak berubah.

Bagaimanapun, beliau berkata pasaran akan diimbangi oleh berita baik mengenai kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi serta data makro yang memberangsangkan dengan petunjuk ekonomi utama menunjukkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan didagangkan mendatar dalam dagangan berhati-hati setelah pelabur menunggu ucapan sulung Presiden AS Donald Trump sebelum sesi bersama Kongres pada Rabu.

Pasaran tempatan naik pada Khamis setelah pelabur menerima ucapan Trump secara positif dan mengambil petunjuk daripada Wall Street yang menyaksikan dagangan pada paras tertinggi.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia kembali rendah pada Jumaat dan mengakhiri minggu dengan lebih rendah setelah terdapat kegiatan pengambilan untung. Bagi asas perbandingan minggu ke minggu, FBM KLCI naik 10.03 mata kepada 1,708.38 daripada 1,698.35 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas menokok 82.08 mata kepada 12,057.59, Indeks FBMT 100 menambah 83.76 mata kepada 11,736.31 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 108.51 mata kepada 12,498.77.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 160.86 mata kepada 15,288.56, dan Indeks Perladangan menambah 24.16 mata kepada 8,094.51, manakala Indeks Perusahaan susut 48.83 mata kepada 3,236.45.

Jumlah dagangan mingguan bertambah kepada 14.89 bilion unit bernilai RM13.07 bilion berbanding 13.88 bilion unit bernilai RM 12.59 bilion.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 10.76 bilion saham bernilai RM12.42 bilion berbanding 10.12 bilion saham bernilai RM11.92 bilion.

Bagi waran pula, jumlah dagangan naik kepada 1.19 bilion unit bernilai RM162.86 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM147.99 juta.

Sementara itu, pasaran ACE naik kepada 2.91 bilion saham bernilai RM481.58 juta daripada 2.35 bilion saham bernilai RM511.03 juta.

=EZY=