Categories
NASIONAL

DBKL perlu tegas hentikan pembangunan tidak bertanggungjawab

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas menghentikan segera projek pembangunan tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan banjir kilat.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sudah membelanjakan lebih RM600 juta untuk mengatasi masalah ini tetapi kejadian sama tetap berulang.

“Saya melihat seolah-olah tidak ada tindakan efisyen menangani masalah ini.

izzah“Saya juga nampak seolah-olah ada kelulusan mudah bagi setiap pembangunan berkepadatan tinggi,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan fungsi pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang sepatutnya digunakan apabila berlakunya lebih air takungan akibat hujan.

Nurul Izzah sebelum itu mengemukakan soalan punca banjir kilat yang berlaku di sembilan jalan di Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam jawapannya berkata, antara punca banjir kilat itu adalah taburan hujan tinggi hingga mengakibatkan kapasiti takungan longkang berkurangan disebabkan faktor keuzuran.

Selain itu, saluran dari longkang ke jalan terhalang kerana mendapan pasir serta terdapat kelodak tanah akibat kerja pembangunan.

Menurutnya, kontraktor pembangunan di Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail sudah dilantik manakala kerja-kerja di Jalan Pantai Bharu yang akan dilakukan bersekali dengan naik taraf kolam takungan banjir Universiti Malaya masih dalam proses tender.

Bagi lokasi lain, ia masih di peringkat kerja reka bentuk dan dokumen tawaran.

-nR-