Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua mangsa culik Abu Sayyaf tiba di KLIA malam ini

SHAH ALAM, 26 MAC: Dua dari lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai 2016 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, malam ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid ketika dihubungi BERNAMA hari ini mengesahkan perkara itu, namun enggan mendedahkan masa mereka tiba.

Mangsa yang dikenali sebagai Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, dilaporkan berada di Manila, Filipina bersama pihak berkuasa negara itu, semalam.

POLIS BIRU 2 4x4Pada 22 Mac lalu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengesahkan mereka diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka akan diberikan rawatan bagi memulihkan kembali tahap kesihatan sebaik tiba di tanah air.

“Difahamkan, mereka tidak sihat dan polis akan pastikan mangsa mendapat rawatan sebelum menyerahkan kepada keluarga.

“Namun kita akan berbincang dan merujuk kepada pihak berwajib sebelum membuat sebarang tindakan,” katanya lapor BERNAMA.

Tayudin dan Abdul Rahim adalah kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, pada 18 Julai 2016.

Sehingga kini, tiga lagi warga Malaysia masih ditahan pengganas Abu Sayyaf iaitu Fandy Bakran, 27; Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang juga kru kapal tunda Serudong Tiga.

-NFN-