Categories
SELANGOR

Gagal mohon maaf, MAIS buat laporan polis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuat laporan polis terhadap penulis blog yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap institusi Diraja.

Tindakan itu dilakukan ekoran tiada permohonan maaf daripada penulis blog Another Brick in The Wall bertajuk “Selangor Royal Default” dan artikel dalam blog Rocky’s Bru bertajuk “While the Agong makes headlines”.

Laporan polis itu dibuat Pengerusi MAIS, Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa di Balai Polis Seksyen 6, di sini, Sabtu lalu.

“MAIS mendapati kenyataan dalam artikel terbabit adalah tidak benar dan boleh meruntuhkan kepercayaan rakyat Malaysia amnya dan Selangor khasnya terhadap krediliti DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan MAIS,” kata Setiausahanya, Dato’ Bakhtiar Hussin dalam kenyatan media, hari ini.

Sebelum ini, MAIS mendesak dua penulis blog terbabit supaya membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung dakwaan Sultan Sharafuddin terbabit dalam tuntutan saman MAIS ke atas Redha Resources Sdn Bhd (RSSB) di mahkamah, baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua artikel itu mengandungi kenyataan berbaur fitnah dan memberi gambaran tidak benar terhadap Sultan Selangor.

-AA-