Categories
NASIONAL

Hanya 40 peratus Melayu sokong Umno

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Umno hanya mampu meraih 40 peratus sokongan Melayu buat masa ini, berdasarkan tiga kaji selidik dijalankan Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI), sejak Disember lalu.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, kajian itu dilakukan bagi mengenal pasti sokongan ke atas setiap parti dalam konteks pertandingan tiga penjuru dan calon perdana menteri.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, Umno berjaya memenangi 58 peratus undi Melayu apabila berdepan calon PAS dan mendapat antara 60 hingga 63 peratus undi Melayu ketika berdepan calon KEADILAN.

“Umno juga mendapat sokongan Melayu lebih tinggi iaitu 70 peratus apabila berdepan calon DAP,” katanya.

Rafizi berkata, kaji selidik terbaru itu menunjukkan sokongan kepada Umno menurun 20 peratus.

“Sokongan pengundi Melayu kepada Umno di seluruh negara kekal rendah, pada tahap 40 peratus secara purata.

“Saya tidak ragu-ragu sekarang sokongan terhadap Umno sudah berpecah,” katanya.

-AA-