Categories
SELANGOR

Tanah kubur di Lembah Jaya dalam proses akhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 MAC: Proses penyediaan tanah kubur seluas 24 ekar untuk masyarakat Islam di Lembah Jaya dan kawasan sekitarnya dijangka selesai selepas semua pihak terlibat mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu jalan masuk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, mesyuarat pertama membabitkan pihaknya bersama Pejabat Daerah, Tanah dan Galian Hulu Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang diadakan sebelum ini berjalan lancar.

“Mesyuarat pertama sudah berlangsung dan InsyaAllah minggu hadapan mesyuarat kedua di MPAJ serta kita juga akan bincang dengan pihak lebuh raya untuk menentukan jalan masuk yang sesuai.

“Kita akan bincangkan cadangan bagaimana mahu buat jalan susur dan satu terowong untuk kemungkinan jalan masuk ke tanah perkuburan itu melalui Bukit Belacan,” katanya.

Khasim berkata, tanah kuburan sedia ada yang sebelum ini dijangka mampu menampung permintaan selama 10 tahun didapati hampir penuh.

“Sebenarnya ada arahan Jabatan Agama Islam di Selangor (JAIS), sebarang kematian orang Islam boleh dikuburkan di mana-mana perkuburan Islam di Selangor tetapi Teratai sudah hampir penuh dan perlu digali menggunakan tenaga manusia,” katanya.

-AA-