Categories
SELANGOR

“Maaf dan terima kasih…”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 21 MAC: Pelakon dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri terkejut apabila keluhannya di media sosial, baru-baru ini mendapat jawapan segera daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus itu berkata, pendekatan responsif Mohamed Azmin begitu berbeza dengan kebanyakkan pemimpin politik lain yang lebih gemar mengambil pendekatan ‘defensive’.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama kepada Dato’ Menteri Besar kerana menjadi seorang pemimpin yang begitu responsif hingga saya sendiri terkejut.

“Keadaan ini berbeza dengan pemimpin lain yang lebih bersikap ‘defensive’. Apabila datang seorang pemimpin responsif, sudah tentu saya teruja dan sekarang terlebih teruja pula. Terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima sumbangan Kerajaan Negeri di Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus di Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall di sini, semalam.

Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus menerima RM100,000, manakala Pusat Pendidikan Khas Andra Uphill di Salak Tinggi menerima sumbangan RM50,000.

ahmad idhamSambil memohon maaf atas kritikannya terhadap Kerajaan Negeri sebelum ini, Ahmad Idham mengakui perkara itu berlaku ekoran tidak mendapat maklumat secukupnya.

“Kami sokong prgoram Kerajaan Negeri. Ramai artis mulai sedar perkara ini dan teruja.

“Sebelum ini kita tidak pernah tahu kerana maklumat tidak sampai, justeru saya mohon maaf atas kesilapan sebelum ini. Syukur, saya dapat bantuan sebegini dan jujurnya ini kali pertama terima bantuan sejak pusat ini dibuka,” katanya.

Sebelum ini, pengarah filem itu pernah mengkritik Kerajaan Negeri di Twitter kerana tidak mengetahui bantuan untuk pusat pendidikan terbabit sudah di peringkat akhir untuk diserahkan.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila kritikannya itu dibalas serta merta Mohamed Azmin.

-AA-