Categories
NASIONAL

Ahmad Idham dilantik CEO baharu FINAS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Pengarah dan pelakon terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelantikan itu bagi tempoh dua tahun dan mula berkuat kuasa 11 Mac lalu.

Katanya, keputusan dibuat hasil keputusan Lembaga FINAS berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku, Shakib Ahmad Shakir, yang sudah menjalankan tugas empat bulan lalu.

“KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mengucapkan terima kasih kepada Shakib untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugas sebagai pemangku jawatan itu.

“Kementerian optimis CEO baharu iaitu Ahmad Idham akan berkhidmat sebaiknya untuk meningkatkan usaha FINAS bagi membangunkan industri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Gobind berharap Ahli Lembaga FINAS akan memberi kerjasama penuh kepada CEO baharu dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan.

Ahmad Idham adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA dan mempunyai kepakaran serta pengalaman luas dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun, selain pernah mencatat rekod juga menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara.

Categories
SELANGOR

IWB proaktif perluas mesej kesaksamaan gender

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Mesej pemberdayaan wanita perlu disebar secara meluas demi memastikan wanita tidak dipinggirkan dalam setiap sektor pembangunan, kata Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, perkara itu wajar dilakukan kerana wanita diseluruh dunia kini menghadapi masalah kesetaraan gender tidak seimbang seperti laporan Jurang Gender Global dimana dunia memerlukan 217 tahun lagi untuk mencapai kesetaran gender.

“Dari sudut pencapaian pendidikan, nisbah pelajar lelaki dan wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) secara purata menunjukkan dominasi pelajar wanita seramai 60 peratus.

“Malah ada setengah IPT hampir 75 peratus pelajar dari golongan wanita berbanding lelaki.

“Namun, jumlah ini jelas tidak diterjemah dengan penglibatan wanita dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 anjuran IWB di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Zuraida berkata, adalah satu kerugian sekiranya para graduan dan golongan profesional dari golongan wanita terpaksa memilih kerjaya dan keluarga sedangkan mereka mampu memperoleh keseimbangan diantara keduanya.

“Apa yang penting adalah masyarakat terutamanya golongan lelaki sedar bahawa wanita juga perlu diberi ruang untuk berkembang maju selari dengan zaman.

“Kerajaan Negeri melalui IWB akan terus merangka program memastikan suara wanita di dengari disamping terus mempromosikan pemberdayaan wanita selaras dengan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan yang telah dilancarkan tahun lalu supaya kesaksamaan gender dapat dicapai,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi 2018 IWB merangka beberapa program termasuk Program Kesedaran Gender, Seminar Work Life Balance (WLB), Koperasi Wanita Selangor (PWB Shoppe) dan Komik Hormat Wanita.

Sementara itu, pelakon dan pengarah popular, Ahmad Idham yang juga hadir dalam Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 semalam, turut menyatakan sokongan beliau terhadap perlunya kesaksamaan gender.

Katanya, isu itu sememangnya diperjuangkan dari dulu dan drama-drama arahan beliau juga tidak mendiskriminasikan gender.

“Dalam drama juga kita boleh didik masyarakat melalui mengubah babak yang sering dilakonkan dimana lelaki duduk sambil baca surat khabar sedangkan kita boleh ubah babak suami isteri berborak sambil basuh pinggan bersama atau masak bersama.

“Saya terpanggil menyertai kempen ini bagi memperjuangkan ibu-ibu yang mempunyai anak istimewa. Kerana saya melihat sendiri keupayahan isteri selama 16 tahun menguruskan anak istimewa dalam masa sama menguruskan keluarga.

“Dengan wujudnya sekolah khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Eden Firdaus, yang saya bangunkan serta mendapat sokongan penuh Kerajaan Selangor, wanita yang mempunyai anak istimewa akan dapat mempunyai masa terluang untuk diri sendiri dalam membina kerjaya, melibatkan diri dalam ekonomi mahupun pendidikan,” katanya.

Categories
SELANGOR

“Maaf dan terima kasih…”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 21 MAC: Pelakon dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri terkejut apabila keluhannya di media sosial, baru-baru ini mendapat jawapan segera daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus itu berkata, pendekatan responsif Mohamed Azmin begitu berbeza dengan kebanyakkan pemimpin politik lain yang lebih gemar mengambil pendekatan ‘defensive’.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama kepada Dato’ Menteri Besar kerana menjadi seorang pemimpin yang begitu responsif hingga saya sendiri terkejut.

“Keadaan ini berbeza dengan pemimpin lain yang lebih bersikap ‘defensive’. Apabila datang seorang pemimpin responsif, sudah tentu saya teruja dan sekarang terlebih teruja pula. Terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima sumbangan Kerajaan Negeri di Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus di Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall di sini, semalam.

Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus menerima RM100,000, manakala Pusat Pendidikan Khas Andra Uphill di Salak Tinggi menerima sumbangan RM50,000.

ahmad idhamSambil memohon maaf atas kritikannya terhadap Kerajaan Negeri sebelum ini, Ahmad Idham mengakui perkara itu berlaku ekoran tidak mendapat maklumat secukupnya.

“Kami sokong prgoram Kerajaan Negeri. Ramai artis mulai sedar perkara ini dan teruja.

“Sebelum ini kita tidak pernah tahu kerana maklumat tidak sampai, justeru saya mohon maaf atas kesilapan sebelum ini. Syukur, saya dapat bantuan sebegini dan jujurnya ini kali pertama terima bantuan sejak pusat ini dibuka,” katanya.

Sebelum ini, pengarah filem itu pernah mengkritik Kerajaan Negeri di Twitter kerana tidak mengetahui bantuan untuk pusat pendidikan terbabit sudah di peringkat akhir untuk diserahkan.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila kritikannya itu dibalas serta merta Mohamed Azmin.

-AA-