Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid, surau, sekolah Kuala Selangor terima sumbangan RM2.1 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 25 MAC: Sebanyak 22 masjid, surau dan sekolah di daerah Kuala Selangor akan dinaik taraf apabila menerima sumbangan RM2.1 juta daripada Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu salah satu tanda Kerajaan Negeri hari ini begitu mengambil berat dalam isu membabitkan akidah umat Islam.

“Selain menyemarakkan program Inisiatif Peduli Rakyat yang kita mulakan beberapa tahun lalu, kita juga mengupayakan program yang menitikberatkan hal kerohanian dalam kalangan umat Islam Kuala Selangor.

IMG_20170324_131721_740“Sudah tentu institusi masjid, surau dan sekolah agama begitu penting bagi membangunkan akidah umat Islam di kawasan ini.

“Bagi Kerajaan Negeri, kita memberikan sumbangan untuk menaik taraf prasrana yang diperlukan institusi ini di Kuala Selangor. Dengan sokongan Kerajaan Negeri, kita yakin institusi agama Islam dapat mengangkat martabat Islam di Kuala Selangor,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada media pada program Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama Daerah Kuala Selangor di Masjid Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.

Katanya, jumlah sumbangan yang diberikan bergantung kepada keperluan kerja menaik taraf atau baik pulih yang diperlukan institusi terbabit.

Sebelum itu, Mohamed Azmin turut sama-sama menunaikan solat Jumaat dan mengambil peluang untuk beramah mesra dengan penduduk Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Turuh hadir pada majlis itu adalah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

-NFN-