Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor jayakan kempen derma darah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MAC: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) dengan kerjasama Kelab Kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Shah Alam berjaya mengumpulkan kira-kira 62 pain darah sempena Kempen Derma Darah di bangunan Perangsang Selangor, semalam.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Media dan CSR Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, kempen julung kali diadakan itu mendapat sambutan 240 pengunjung termasuk kakitangan dan orang ramai.

“Kami melepasi sasaran awal apabila berjaya mengumpul 62 pain darah bertujuan membantu mereka yang memerlukan serta menambah simpanan tabung darah di Pusat Darah Negara.

“Kempen ini juga merupakan sebahagian daripada aktiviti berbentuk ‘Employee Engagement’ (penglibatan pekerja) bertujuan menggalakkan kakitangan untuk menjayakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat selain mengumpul mata untuk direkodkan di dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) masing-masing,” katanya.

Selain kempen derma darah, turut diadakan ceramah kesihatan berkaitan tabiat pemakanan bagi memberi kesedaran kepada kakitangan serta orang ramai berkenaan kepentingan menjaga kesihatan.

Ceramah bertajuk ‘Pemakanan Zaman Moden dan Implikasinya Terhadap Kesihatan’ disampaikan Pengerusi Persatuan Perubatan Doktor Islam Malaysia, DrHafiz Sulaiman dan turut dihadiri Pengerusi Kelab Kakitangan LHDNM Shah Alam, Azmi Mohamed.

-AA-