Categories
EKONOMI

PKS tempatan diunjur sumbang 37% KDNK

KUALA LUMPUR 18 MAC: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan diunjur menyumbang sekurang-kurangnya 37 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Kang Hua Keong, berkata sasaran berkenaan boleh dicapai sekiranya mereka mengambil kesempatan daripada projek pembangunan, seperti inisiatif ‘satu jalur, satu jalan’ (B&R) China dan ekonomi digital di negara ini.

PKS tempatan menyumbang 35.9 peratus daripada KDNK negara pada 2015, dan beliau yakin angkanya akan lebih tinggi pada 2016.

Hua Keong berkata B&R telah mengenal pasti 65 negara yang disambungkan dengan China dan PKS perlu merebut peluang pelaburan di pasaran antarabangsa.

“Sejak pelaksanaan inisiatif B&R pada 2015, China melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN dan Timur Tengah,” katanya ketika Forum Prospek Ekonomi Malaysia 2017 baru-baru ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata PKS juga akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan daripada inisiatif B&R seperti projek Kereta Api Pantai Timur.

Hua Keong berkata langkah tersebut adalah antara cara yang dapat meningkatkan penggunaan produk tempatan dan memacu sumbangan PKS kepada pertumbuhan KDNK.

Katanya, hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekonomi digital di negara ini juga pastinya akan menyokong perniagaan tempatan. ”

Pengasas Alibaba Group China, Jack Ma, dijangka tiba di Malaysia tidak lama lagi untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital.

“Akan ada banyak aktiviti perniagaan yang berkaitan e-dagang dan PKS harus memanfaat dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata, hanya 20 peratus daripada 10,000 anggota Persatuan PKS telah menerima pakai e-dagang.

=EZY=