Categories
NASIONAL

Putrajaya tiada komitmen pulih imej polis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mempunyai kesungguhan memulihkan imej dan budaya korupsi yang dikaitkan dengan institusi polis di negara ini, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, kelemahan itu sekali gus mendorong kepada tanggapan negatif umum terhadap institusi kepolisan di negara ini.

“Sejak 2004 lagi, pimpinan pembangkang berkali-kali membawa usul supaya badan khas bertindak seperti IPCMC dibentang di Parlimen dan ditubuhkan.

“Tetapi Kerajaan Persekutuan tidak ke arah itu, sebaliknya terus melindungi budaya korup yang diamalkan pentadbiran Putrajaya ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.

IPCMC merujuk kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis – berperanan menjalankan siasatan terhadap mana-mana anggota polis yang melanggar etika ketika menjalankan tugas.

Sebelumnya, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN mengulas tinjauan Transparency International-Malaysia (TI-M) yang mendedahkan kira-kira 57 peratus peserta hasil tinjauan itu merasakan institusi polis sebagai pasukan paling korup.

Sim Tze TzinHasil tinjauan turut menunjukkan 13% daripada responden pernah merasuah kakitangan polis.

Tze Tzin berkata, kebimbangan umum terhadap amalan korupsi polis boleh dikembalikan jika komitmen itu dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Ia tidak mengejutkan kalau sebuah badan khas ditubuhkan sejak awal lagi, budaya korupsi dan amalan rasuah itu mampu ditangani.

“Tetapi sejak 2004 gesaan supaya IPCMC ditubuhkan dan kini sudah hampir 13 tahun, tanggapan negatif masyarakat terhadap polis kekal negatif dan tidak pernah berubah,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan menolak cadangan penubuhan IPCMS kononnya tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan konsep keadilan.

-AA-