Categories
AGENDA NASIONAL

MOA: Tiada lagi import cili merah dari Vietnam tahun ini

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam dibenarkan sepanjang tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, ini berikutan pemantauan persampelan cili merah dari negara berkenaan menunjukkan kandungan ‘maximum residue limit’ (MRL) melebihi paras dibenarkan.

“Kementerian juga telah menghantar notifikasi kepada pihak berkuasa Vietnam bagi mengambil tindakan sewajarnya dan melaporkan tindakan pencegahan yang membolehkan penggantungan import permit ditamatkan.

“Kementerian juga menetapkan syarat sanitasi dan fitosanitasi bagi kemasukan cili segar dari Vietnam seperti mensyaratkan pensijilan amalan pertanian baik selain menggalakkan penanaman dan meningkatkan pengeluaran cili tempatan yang bebas racun serta berkualti bagi memenuhi permintaan cili dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara di sini, hari ini menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad.

Tze Tin berkata, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan pemeriksaan lebih teliti bagi sebarang produk pertanian khususnya dari Vietnam.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu kesahihan penularan video makanan pemprosesan yang didakwa beracun antaranya dengan mewarnakan durian supaya kelihatan lebih segar, beliau berkata, ia adalah video lama dan tidak berlaku di negara ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengusaha kopi disaran pelbagaikan produk

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Malaysia adalah antara pengeluar produk kopi campuran tiga dalam satu yang terbaik di rantau ini, namun pengusahanya dilihat masih memberi tumpuan kepada penghasilan kopi campuran berbanding menghasilkan inovasi terkini dalam produk kopi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pengusaha produk itu perlu melakukan anjakan dengan mengambil kira trend penggemar kopi semasa untuk terus bersaing dalam industri itu.

“Sekarang orang Jepun telah mencipta mesin kopi dengan kapsul contohnya, ini adalah trend yang baharu. Saya rasa pengusaha kopi perlu meneroka lebih jauh daripada hanya mengeluarkan produk kopi campuran tiga dalam satu sahaja.

“Sehingga kini kita adalah pengeluar produk kopi campuran tiga dalam satu yang terbaik di rantau ini, tetapi citarasa pengguna kini sudah berubah kepada bentuk kapsul, dan kita perlu ke arah itu juga,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu usaha kementerian dalam meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman kopi, dan meningkatkan penghasilan kopi tempatan supaya seterusnya boleh dieksport ke pasaran luar.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Malaysia ambil langkah berjaga-jaga elak penularan wabak ASF

BATU KAWAN, 24 JUN: Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan pencegahan bagi memastikan tiada penyebaran penyakit ‘African Swine Fever’ (ASF) ke negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata walaupun buat masa ini Malaysia masih bebas daripada penyakit ASF, namun wabak itu telah dilaporkan di beberapa negara jiran seperti China, Vietnam, Laos dan Korea Utara.

Bagaimanapun, menurutnya Malaysia mempunyai zon penampan dan bebas daripada wabak itu buat masa ini kerana Thailand masih belum mencatatkan kes penyakit ASF.

“Sehingga 20 Jun 2019, enam wabak ASF telah dilaporkan di Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja, Korea Utara dan Laos. Di Vietnam, wabak ASF pertama dilaporkan pada 19 Februari lepas dan sehingga kini 2.5 juta ekor babi telah dimusnahkan.

“Hanya satu wabak ASF dilaporkan di Kemboja yang mengakibatkan 2,400 ekor babi dimusnahkan atau mati akibat wabak ASF. Di Korea Utara, wabak ASF pertama dilaporkan di sebuah ladang babi pada 23 Mei lepas di mana 77 daripada 99 ekor babi di ladang tersebut mati akibat wabak itu.

“Laos telah melaporkan wabak pertama ASF pada 20 Jun lepas di tujuh ladang di jajahan Saravane. Sekarang hanya tinggal satu zon penampan iaitu Thailand. Kami bimbang kalau Thailand dapat jangkitan, mungkin wabak ini akan masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melawat Ladang Ternakan Babi Wong Brothers, di sini hari ini.

ASF adalah penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus babi dan babi liar.

Sejak negara China mengumumkan kes pertama ASF di jajahan Laoning pada 3 Ogos 2018, sejumlah 136 wabak telah dilaporkan di 32 jajahan yang mengakibatkan 1.133 juta ekor babi di negara itu dimusnahkan.

Sim berkata sebagai langkah pencegahan kemasukan virus ASF ke dalam negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengeluarkan surat larangan pengimportan babi serta produk babi dari negara China (12 November 2018), Poland dan Belgium (17 Januari 2019), Thailand dan Vietnam (23 Januari 2019) serta Kemboja (4 April 2019).

Katanya, survelen (pengawasan) klinikal turut dijalankan di ladang babi komersial di lapan buah negeri dan setakat ini kesemua ladang babi komersial yang telah diperiksa tidak menunjukkan tanda-tanda wabak ASF.
Untuk rekod Malaysia mempunyai lebih 600 ladang ternakan babi di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan 1.5 juta ekor babi.

Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan ke atas kemasukan produk babi dari negara-negara berisiko ASF telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk utama negara sejak 12 November 2018 dan sehingga kini, sebanyak 180 sampel daging dan produk babi dari negara berisiko telah diuji dan hasil uji kaji mendapati tiada virus ASF dikesan daripada semua sampel.

Dalam pada itu, Sim menasihatkan pengusaha ladang-ladang ternakan babi untuk meningkatkan biosekuriti ladang dengan memastikan pagar perimeter ladang dalam keadaan baik, mengelakkan kemasukan pelawat ke ladang babi, memastikan pekerja yang masuk ke ladang memakai pakaian dan but bersih, bersesuaian serta dicelup dalam disinfektan serta mengamalkan penggunaan makanan dedak.

Beliau turut meminta kerjasama pengusaha ladang untuk bersama-sama mengelakkan penularan wabak itu dan menegaskan pemilik ladang ternakan babi untuk melaporkan segera babi yang disyaki berpenyakit atau mati kepada pihak berkuasa veterinar serta tidak memindahkannya tanpa kebenaran.

“Kegagalan melaporkannya boleh didenda tidak melebihi RM25,000,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penggunaan racun serangga di Cameron Highlands masih tinggi

CAMERON HIGHLANDS, 22 JUN: Tahap penggunaan racun serangga dalam kalangan pekebun di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands masih tinggi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan bukan sahaja membahayakan petani dan pengguna, malah merosakkan alam sekitar serta menyebabkan sayur-sayuran tidak dapat dieksport ke negara luar.

Katanya, bagi membantu petani di Cameron Highlands mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak untuk mengawal ulat ‘Plutella’ dan ulat Pelombong Daun, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan kerjasama Jabatan Pertanian telah berjaya membiakkan tiga agen kawalan biologi.

“Agen kawalan biologi ini dibiakkan dari jenis parasitoid iaitu ‘Diadegma’ dan ‘Cotesia’ secara besar-besaran di makmal untuk kegunaan petani bagi mengawal ulat Plutella manakala jenis ‘Tiger Fly’ pula untuk mengawal ulat pelombong daun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Agen Kawalan Biologi di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Tze Tzin berkata, semua petani dan pengusaha sayuran di Cameron Highlands digesa menggunakan ketiga-tiga agen kawalan biologi itu demi menjamin kualiti serta keselamatan makanan selain mengurangkan kos pengeluaran dan pencemaran alam sekitar akibat penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan.

Katanya, semua petani dan pekebun tanaman sayuran berdaun di sini diberi tempoh selama enam bulan bagi mengurangkan penggunaan racun serangga sebelum tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil.

“Analisis ekonomi yang dijalankan mendapati teknologi ini berupaya memberikan penjimatan kos racun makhluk perosak sebanyak RM2,000 semusim.

“Ketiga-tiga agen kawalan biologi ini telah dibiakkan secara besar-besaran untuk dibekalkan kepada petani sayur-sayuran di tanah tinggi Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan dan persatuan petani di Cameron Highlands bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan penggunaan racun perosak dan kelebihan menggantikannya dengan penggunaan agen kawalan biologi sebelum memperluaskannya di seluruh negara.

Agen Kawalan Biologi adalah satu kaedah lestari bagi pengawalan serangga perosak untuk tanaman sayur-sayuran yang memberi impak yang negatif terhadap hasil pengeluaran pertanian negara pada hari ini.

Kaedah kawalan biologi yang dibangunkan Mardi dan Jabatan Pertanian bagi mengatasi masalah itu daripada menular terbukti berkesan mengawal serangan serangga perosak di kebanyakan kawasan pertanian seluruh dunia.

Cameron Highlands adalah destinasi pelancongan terkenal sebagai pusat penghasilan dan pengeluaran sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang utama di negara ini sejak pertanian mula diperkenalkan di daerah ini pada awal tahun 1930-an.

Secara keseluruhannya, Pahang addalah negeri terbesar mengeluarkan sayur-sayuran terutama kubis bulat yang ditanam di kawasan seluas 2,770 hektar, menghasilkan pengeluaran hampir 68,500 tan metrik dengan sumbangan terbesar datang dari Cameron Highlands iaitu sebanyak 68,400 tan metrik.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Musang King dijual dalam dan luar talian di China

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Kumpulan Alibaba hari ini mengumumkan durian Musang King Malaysia, buat pertama kali akan diimport ke China secara rasmi dalam bentuk buah-buahan beku dan boleh dibeli melalui dalam talian atau luar talian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Malaysia akan terus membantu memudahkan eksport dan mempromosikan produk tempatan yang unik itu kepada pasaran global.

“Hari ini, kerjasama kukuh antara Malaysia dan China telah menghasilkan inisiatif eksport durian dan kedua-dua kerajaan telah bekerjasama untuk selama beberapa bulan bagi memudahkan eksport durian Musang King beku dalam bentuk buah penuh ke China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Alibaba menyokong usaha Malaysia dalam pelbagai bidang untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana tempatan termasuk dalam menyokong perdagangan global, serta membantu mempromosikan produk Malaysia melalui kempen penjanaan permintaan, antaranya.

“Ini satu permulaan kerjasama strategik jangka panjang yang mengambil kira kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan eksport tempatan melalui platform e-dagang dan menyokong pertumbuhan dalam bidang ini,” katanya.

Pada 2018, Malaysia menghasilkan lebih daripada 350 juta kilogram durian tetapi angka eksportnya baru setakat lima peratus sahaja.

“Oleh itu, melalui kerjasama ini, kami amat positif bahawa eksport durian akan berkembang dengan pesat. Ini juga menyebabkan banyak kebun tempatan mula melabur untuk meningkatkan pengeluaran durian, satu tanda bahawa ramai pihak yang sudah mula menyedari peluang pertumbuhan ini,” katanya.

Dibantu oleh sistem pengagihan pelbagai saluran di Alibaba, pengguna China akan dapat membeli buah-buahan melalui Tmall dan Freshippo, salah satu platform niaga baharu di Alibaba yang membolehkan pengguna untuk membeli produk-produk sama ada menggunakan aplikasinya yang khusus atau di salah satu daripada 150 cawangan luar talian di seluruh China.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengusaha harumanis digesa daftar myGAP

Categories
NASIONAL

Bot guna teknologi satelit tingkat hasil tangkapan nelayan

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha memperkenalkan bot laut baharu yang menggunakan teknologi satelit kepada nelayan tempatan bagi meningkatkan hasil tangkapan ikan.

Timbalan Menteri berkenaan, Sim Tze Tzin berkata, bot itu akan memudahkan nelayan mengesan kewujudan lokasi ikan di laut, selain memberi penjimatan diesel.

“Vessel baharu ini akan menjadikan tangkapan ikan lebih efisien kerana mereka boleh terus ke tempat menangkap ikan dengan bantuan teknologi itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hasanuddin Mohd Yunus (PAKATAN-Hulu Langat) yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan kualiti nelayan serta hasil tangkapan mereka.

Sim berkata, nelayan dari Australia telah mengguna bot nelayan itu yang dibeli dari Malaysia, namun penerimaan daripada nelayan tempatan masih kurang memuaskan.

Sementara itu, Sim berkata, pengeluaran perikanan tangkapan marin pada 2018 ialah 1.47 juta metrik tan dengan nilai RM11,385 juta, dengan Kelantan mencatatkan RM270.29 juta nilai hasil tangkapan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia sekat sementara import khinzir dari Vietnam

GEORGE TOWN, 23 FEB: Kerajaan akan mengenakan sekatan sementara terhadap import khinzir dan produk berkaitan dari Vietnam, selepas tiga ladang ternakan haiwan itu, di negara terbabit dikesan dijangkiti demam babi Afrika (ASF).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, larangan itu bagi membendung penularan ASF ke negara ini.

Beliau jugan menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang dengan wabak terbabit yang hanya menjangkiti haiwan berkenaan.

“ASF tidak ada impak ke atas manusia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program AgroInvest anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 1,400 kilogram produk babi dirampas di beberapa pintu masuk ke negara ini, namun kesemuanya dikesan tidak mengandungi ASF.

Setakat ini, 10 negara dilaporkan berdepan penyakit ASF iaitu China, Mongolia, Belgium, Hungary, Latvia, Moldova, Poland, Romania, Ukraine dan Chad, di Afrika.

Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memberi peruntukan lebih besar untuk tujuan penyelidikan sektor pertanian kerana beliau difahamkan hanya 0.36 peratus daripada RM5 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-10.

“Daripada RM5 bilion itu juga, hanya 0.1 peratus diberikan kepada MARDI bagi menjalankan penyelidikan berkenaan peningkatan hasil daripada benih dan bijirin.

“Malaysia terletak di lokasi yang strategik dengan negara dikelilingi pasaran hampir 3.3 bilion orang di rantau Asia termasuk India dan China, justeru pemintaan produk makanan akan semakin bertambah dan penyelidik makanan memerlukan dana untuk mencipta produk baharu,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tamat monopoli Bernas: Kerajaan jamin golongan petani tidak diabaikan

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Golongan petani tempatan tidak akan diabaikan jika monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ditamatkan.

Timbalan ​​​​​​​​​​​​​Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pemain industri padi dan beras yang baharu diharap dapat terus mengutamakan​​​​​​​ bekalan beras daripada petani tempatan berbanding dari luar.

“Kami akan beri tanggungjawab tersebut kepada syarikat baharu yang ingin sertai kerana ​​​​​​​jika​​​​​​​ mereka hendak dapatkan keuntungan daripada import beras, mereka juga perlu laksanakan tanggungjawab sosial.

“Kita nak syarikat itu memperoleh keuntungan yang adil jadi mereka perlu tunai tanggungjawab ​​​​​​​mereka, barulah industri itu sihat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu sekiranya pemecahan monopoli beras memberi kesan kepada golongan pesawah yang selama ini memberi bekalan beras kepada Bernas.

Pada 17 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan sedang mengkaji untuk membuka monopoli Bernas​​​​​​​ sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada pemain industri padi dan beras yang lain sebelum konsesi syarikat itu tamat sepenuhnya pada 2021.

Kajian lanjut mengenai model baharu bagi menggantikan monopoli Bernas sedang dalam​​​​​​​ perbincangan yang mengambil kira semua aspek.

Ia merangkumi sekuriti makanan negara dan kebajikan pemain industri termasuk petani, pengilang serta rakyat sebagai pengguna akhir.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

5 jawatankuasa ditubuh banteras nelayan asing

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 28 SEPT: Lima jawatankuasa bertindak ditubuh bagi membanteras isu pencerobohan bot nelayan asing, kata Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu membabitkan lima kementerian antaranya MOA, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.

“Jawatankuasa bertindak ini ditubuh bertujuan menyelesaikan masalah pencerobohan oleh warga asing yang sering berlaku di kawasan perikanan dan laut di Malaysia.

“Kehadiran warga asing ini mendatangkan kerugian besar terhadap hasil tangkapan Malaysia sehingga kita terpaksa import dari negara luar untuk keperluan ikan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini, semalam.

Selain itu, Tze Tzin berkata, operasi bersepadu juga akan dilaksana membabitkan jawatankuasa bertindak dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Ia bertujuan mengekang pencerobohan dan rompakan hasil laut dengan senang sehingga mengakibatkan negara rugi besar.

“Bagaimanapun, kerjasama antara negara Asean untuk menyelesaikan masalah ini amat diperlukan supaya kita dapat membantu menjaga nama baik negara selain melindungi hak masing-masing,” katanya.

Categories
SELANGOR

MOA galak Selangor tingkat agropelancongan Pulau Ketam

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 28 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggalakkan Kerajaan Negeri untuk bersama bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan sektor agropelancongan Pulau Ketam.

Timbalan Menteri MOA, Sim Tze Tzin berkata, agropelancongan amat penting kerana ia dapat meningkatkan pendapatan kawasan setempat.

“Saya lihat pasaran di sini cukup besar dan sekiranya dibangunkan lagi, pendapatan penduduk di kawasan setempat dapat ditingkatkan.

“Memandangkan jarak Kuala Lumpur ke Klang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit, jadi saya amat menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak ke Pulau Ketam supaya mereka lebih terdedah dengan aktiviti agropelancongan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Tze Tzin turut mengumumkan pihaknya menyerahkan RM30,000 bagi membantu memulihkan infrastruktur Pulau Ketam supaya sektor agropelancongan dapat ditingkatkan.

“Saya optimis Kerajaan Negeri dapat meluangkan masa bersama membantu sektor agropelancongan sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke sini,” katanya.

Categories
NASIONAL

MOA saran nelayan Selangor usaha ternakan akuakultur

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 27 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyarankan nelayan di Selangor untuk mengusahakan ternakan akuakultur secara sendiri bagi mengurangkan sikap kebergantungan bekalan hasil laut dari luar negara.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, selain menangkap ikan, nelayan di Selangor berupaya meningkatkan hasil pendapatan mereka jika mengusahakan ternakan akuakultur itu.

“Pada tahun lalu, Selangor mencatat pengeluar kelima akuakultur terbesar di Malaysia dengan pengeluaran 18,618 tan metrik bernilai RM230 juta.

“Malah, di daerah Klang sahaja pengeluaran hasil akuakultur sejumlah 1,105 tan metrik dengan nilai RM17 juta, sekali gus meningkat 10.6 peratus berbanding 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini.

Katanya, sistem ternakan utama di daerah Klang adalah sistem sangkar air payau, kultur dasar laut kerang, air tawar tangki simen dan ikan hiasan.

“Bilangan penternak yang mengusahakan ternakan akuakultur di daerah ini adalah 111 orang dengan 92 peratus daripadanya adalah penternak air payau,” katanya.

Pada masa sama, Tze Tzin menegaskan pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada nelayan di negeri ini yang menceburkan diri secara serius dalam sektor akuakultur, sekali gus cuba untuk mengusahakannya.

“Kita akan bantu daripada segi penyediaan mesin atau teknologi yang diperlukan jika mereka ini komited menjana ekonomi menerusi aktiviti akuakultur.

“Malah, kementerian juga merancang untuk mempelbagaikan insentif dan bantuan kepada kumpulan nelayan ini, pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan sektor akuakultur lebih maju dan berdaya saing,” katanya.