Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Red Giants ikat Helang Merah 1-1

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 2 MAC: Jaringan penghujung permainan Juliano Minero berjaya menyelamatkan maruah Selangor dengan mengikat Kedah, 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pertembungan ulangan final Piala Malaysia 2016 itu menyaksikan Kedah lebih menguasai permainan dalam keadaan padang basah.

Selangor hampir membuka tirai menerusi jaringan Victor Astafei, pada minit ke-10 selepas menerima hantaran Mohd Raimi Md Nor tetapi dibatalkan kerana ‘offside’.

Selang dua minit kemudian, Mohd Fitri Omar nyaris membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma, namun sekadar melewati palang gol.

Peluang terbaik Selangor muncul pada minit ke-31 tetapi sepakan percuma luar kotak penalti Juliano Minero berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Liridon Krasniqi juga berpeluang meletakkan Kedah di hadapan, pada minit ke-34 tetapi berjaya dihalang pertahanan Selangor untuk keputusan 0-0 kekal menuju waktu rehat.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi gagal memecah kebuntuan.

Masuk minit ke-80, pemain gantian, Sandro Da Silva akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya menyepak masuk sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Khalid.

Ketika kemenangan seolah-olah bakal memihak kepada Kedah, Selangor memperoleh sepakan penalti selepas pertahanan Akram Mahinan mengasari Muhammad Syahmi Safari.

Sepakan Astafei berjaya ditampan Mohd Ifwat tetapi Minero bertindak lebih pantas apablia menolak bola muntah untuk memastikan Kedah berputih mata.

Dengan keputusan itu, Selangor kini berada di tangga ketiga dengan 12 mata, sementara Kedah kekal kedua di belakang pendahulu Pahang dengan 15 mata.

-AA-