Categories
SELANGOR

Reformasi DNS, nasib Ketua Pembangkang Selangor lebih baik – Speaker

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) tampil melaksanakan mekanisme baru memberi peluang kepada Ketua Pembangkang berucap secara terus membangkitkan sebarang isu di negeri itu.

Speaker DNS, Hannah Yeo berkata, perubahan itu sejajar dengan hasrat pentadbiran negeri menjadikan DNS sebagai medium merakyatkan keperluan masyarakat Selangor.

“Sekalian Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) sebulat suara bersetuju untuk menambah Perkara Q iaitu ucapan Ketua Pembangkang dalam Peraturan tetap 13 (1) dan Peraturan tetap 14 (1).

“Perubahan ini memberi peluang kepada Ketua Pembangkang untuk berinteraksi secara terus dengan Dato’ Menteri Besar mengenai isu yang ingin dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang.

“Kesannya ia akan memberi ruang yang saksama antara Kerajaan Negeri dan Pembangkang sekali gus membuahkan polisi lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun Hannah berkata, ketetapan baru itu tidak tertakluk kepada budi bicara Speaker Dewan dan kekal terjamin di bawah peruntukan peraturan Dewan Negeri.

Sementara itu, ruang kebebasan kepada Ketua Pembangkang berbahas sudah dilaksanakan di peringkat Parlimen Persekutuan apabila Ketua Pembangkang diberi ruang untuk berbahas titah pembukaan Dewan Rakyat oleh Yang Dipertuan Agong.

Namun Hannah memberi jaminan, Ketua Pembangkang DNS lebih bernasib baik dan tidak mengalami ‘nasib’ sama sebagaimana di peringkat Parlimen.

“Apakah inspirasi di sebalik pindaan peraturan tetap ini? Jika kita melihat di Parlimen, seringkali apabila Ketua Pembangkang berucap, tetapi Ketua Eksekutif iaitu Perdana Menteri tidak berada di dalam Dewan untuk berbahas dan menjawab. Ini fakta.

“Namun di Dewan Negeri Selangor, kita tidak mempunyai masalah itu walaupun di Selangor parti pembangkang belum mampu menamakan Ketua Pembangkang, tetapi Dato’ Menteri Besar sentiasa berada di dalam Dewan untuk menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Negeri.

“Ini bukan pujian, tetapi ini berdasarkan pemerhatian,” katanya pada sesi ucapan merafak sembah Sultan Selangor pada Majlis Makan Malam Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-13, di Hotel Concorde, malam tadi.

Dalam perkembangan itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli hadir ke Majlis Makan Malam itu.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor; Tengku Norashikin, DYTM Raja Muda Selangor; Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar; Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin.

=EZY=