Categories
EKONOMI

Saham Wall Street catat kejatuhan terburuk 2017

NEW YORK 22 MAC: Saham di Wall Street semalam berdepan kejatuhan terburuknya sejak tahun ini selepas tercetusnya keraguan terhadap keupayaan Presiden, Donald Trump untuk menjayakan agenda yang dijanjikannya di Washington.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan ketiga-tiga indeks Amerika Syarikat (AS) jatuh mendadak dengan Nasdaq menjunam 1.8 peratus, dua hari sebelumnya undian penting bagi dasar penjagaan kesihatan negara itu.

Pasaran saham Eropah turut berdepan kejatuhan termasuk Nikkei Jepun. Penganalisis mengaitkan kejatuhan dengan tekanan penurunan harga minyak.

Trump turut melawat Capitol Hill untuk meraih sokongan daripada rakan Republikan berhubung agenda penjagaan kesihatannya selain memberi amaran parti kemungkinan akan kehilangan majoriti jika mereka tidak sehaluan bagi menggantikan Obamacare dalam satu undian Khamis ini.
Penganalisis bimbang bantahan yang diterima Trump akan menjadi petunjuk momentum agenda lain termasuk usahanya untuk pengurangan cukai dan penggubalan semula undang-undang.

Ketika ditutup, indeks perusahaan Dow Jones jatuh 1.1 peratus kepada 20,668.01; S&P 500 menjunam 1.2 peratus kepada 2,344.02 manakala Nasdaq mencatatkan penurunan ketara 1.8 peratus kepada 5,793.83.
Sementara itu, di London pasaran turut berakhir lemah dengan penurunan 0.7 peratus susulan data rasmi menunjukkan inflasi British melonjak ke paras 12 bulan kepada 2.3 peratus pada Februari, iaitu paras tertingginya sejak 2013.

Pasaran ekuiti Paris pula jatuh 0.2 peratus manakala German DAX rugi 0.8 peratus. Tokyo jatuh 0.3 peratus susulan lonjakan yen menjejaskan saham berasaskan eksport.

=EZY=