Categories
SELANGOR

Selangor peneraju TVET lahir graduan berkualiti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Selangor dijangka akan menerajui program latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini dengan menyediakan pelbagai latihan di dua institusi pendidikan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor pendidikan yang menawarkan kemahiran itu penting dalam menentukan kejayaan pelajar akan datang.

“Pendidikan adalah pelaburan penting untuk menjadikan sesebuah negeri maju dan menjadi cabaran kepada kita bagaimana ingin menerajui usaha mengimbangi keluaran graduan mengikut keperluan.

“Ketika ini, kita melahirkan banyak graduan, namun tiada pekerjaan sesuai dengan kemahiran dan pengetahuan pelajar,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, di sini.

Justeru, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri perlu mendekati pendidikan TVET bagi menjamin masa depan negara.

Katanya, ia bakal dilaksanakan di dua institusi pendidikan negeri iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Antarabangsa Inpens.

CP2A1470-800x533“Kita perlu mengambil contoh negara maju antaranya Jepun dan Jerman yang memberikan tumpuan besar dalam program sedemikian,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Exco, pimpinan tertinggi pihak berkuasa tempatan dan pakar dari badan profesional mengadakan retrear di Port Dickson, baru-baru ini.

Dalam retreat itu, tiga perkara diberi tumpuan antaranya ekonomi, pendidikan dan perumahan.

Dalam Belanjawan 2017 lalu, Mohamed Azmin mencadangkan RM5 juta untuk program TVET di Inpens bagi memperkasakan pendidikan vokasional yang akan membekalkan tenaga mahir kepada industri.

-AA-