Categories
SUKANKINI

Selangor ungguli badminton, boling Karnival Sukan MAKSAK Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MAC: Kotinjen Majlis Kebajikan & Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Selangor cemerlang selepas muncul juara bagi acara tenpin boling berpasukan wanita dan badminton berpasukan pada Karnival Sukan MAKSAK Malaysia 2017.

Selangor yang juga merupakan tuan rumah bagi edisi keempat turut muncul naib johan bagi acara ragbi tujuh sebelah, tempat ketiga bagi acara tenpin boling berpasukan lelaki, sepak takraw berpasukan dan sepak takraw regu veteran.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, kejayaan kontinjen Selangor merupakan antara yang terbaik pernah dicapai.

“Alhamdullilah dua acara kita menjadi johan dan selain, naib johan dan tempat ketiga. Saya lihat pencapaian kita meningkat berbanding sebelum ini dan pada tahun hadapan lebih bagus lagi.

“Apa pun sebenarnya apa yang lebih penting, dengan acara sebegini kita dapat mengeratkan hubungan kakitangan awam antara jabatan tidak kira sama ada dalam atau luar Selangor,” kata beliau.

MAKSAKMohd Amin berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan MAKSAK di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di sini, hari ini.

Ketika menyentuh peranan Selangor yang diberi kepercayaan menganjurkan MAKSAK edisi keempat ini, Mohd Amin berharap anggota kontinjen luar berpuas hati dengan layanan yang diberikan tuan rumah.

“Penganjuran berjalan lancar dan kita cuba memberikan yang terbaik untuk semua atlit MAKSAK seluruh negara.

“Setakat ini kita rasa gembira kerana kita dapat beri layanan yang baik kepada tetamu kita. Kami harap mereka gembira selama lima hari berada di sini,” katanya lagi.

Jelasnya, Karnival Sukan MAKSAK Malaysia 2017 bukan sahaja mampu memupuk budaya sihat melalui sukan, malahan berperanan mengeratkan hubungan anggota MAKSAK yang datang dari seluruh negara.

Karnival Sukan MAKSAK Malaysia 2017 yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mac disertai kira-kira 1,200 atlit dan pegawai daripada kesemua 18 badan gabungan MAKSAK seluruh negara.

Acara yang dipertandingkan adalah sepak takraw, badminton, tenpin boling dan satu acara baru, ragbi tujuh sebelah.

=EZY=