Categories
KENYATAAN MEDIA

Tasik Chini semakin nazak, mana tanggungjawab kerajaan?

OLEH FUZIAH SALLEH

Saya melahirkan kebimbangan terhadap persekitaran kawasan Tasik Chini yang semakin terjejas ekoran pelbagai kegiatan tidak terkawal di sekelilingnya.

1. Saya merujuk kepada laporan Harian Metro bertarikh 25 Februari 2017 bertajuk ‘Tasik Chini Makin Nazak’ yang hampir memusnahkan persekitaran kawasan itu berikutan kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan. Akibatnya, tasik semula jadi kedua terbesar negara selepas Tasik Bera itu berada dalam situasi tercemar apabila saiznya mula mengecil serta menunggu masa menjadi kering jika pemendapan di dasar tasik terus berlaku.

Akhbar berkenaan juga menyiarkan kenyataan Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Prof Datuk Seri Dr Mushrifah Idris yang mengesahkan kegiatan penerokaan itu menyebabkan air tasik menjadi keruh serta memberi kesan kepada hidupan lain, terutama tumbuhan teratai yang sering dikaitkan dengan tasik berkenaan.

2. Masalah Tasik Chini sudah berlarutan selama hampir 10 tahun, keadaannya semakin bertambah teruk dan sekarang ini diibaratkan seperti tasik yang mati. Berdasarkan maklumat yang saya peroleh dari Orang Asli di sana, ikan-ikan pun sudah tidak boleh dimakan.

Pencemaran yang berlaku agak kronik tetapi setakat ini Kerajaan Negeri Pahang tidak prihatin dan ambil peduli berkenaan Tasik Chini. Saya menyeru Kerajaan Pusat yang nampaknya menunjukkan sedikit kekhuatiran berbuat sesuatu agar pemulihan dapat dilakukan.

3. Berkenaan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mendakwa tiada lesen pembalakan dikeluarkan, saya mendapati ada bukti bergambar yang menunjukkan sebaliknya. Jika dakwaan Junaidi itu benar, hal ini bermakna pembalakan tersebut dilakukan secara haram.

4. Semua ini, berbalik kepada penguatkuasaan seperti mana dalam kes bauksit, isu penggondolan Cameron Highlands dan pencerobohan hutan simpan kekal di Pahang. Dalam perkara tersebut, jelas Kerajaan Negeri telah lepas tangan dan membiarkannya terus berlaku. Saya merayu Kerajaan Persekutuan membantu kami warga Pahang memulihkan segera tasik Chini bagi menjamin biodiversiti di dalam dan sekitarnya tidak terancam.

5. Kerajaan Negeri sepatutnya mengambil langkah pro-aktif dengan menjaga keindahan alam sekitar di tasik berkenaan bagi memastikan ia kekal sebagai tempat tarikan pelancongan, yang secara tidak langsung mampu meningkatkan penghasilan ekonomi negeri.

6. Suka saya ingatkan Kerajaan Negeri, Tasik Chini juga disenaraikan sebagai Tapak Rizab Biosfera di bawah program Manusia dan Biosfera (MAB), hasil inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama diwartakan di Malaysia pada tahun 2009.

7. Justeru itu, saya juga memohon Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kerajaan Negeri agar melakukan pemantauan berterusan kerana penerokaan hutan tidak terkawal khususnya di kawasan bukit akan memberikan impak yang tinggi kepada hakisan tanah.

*Fuziah Salleh adalah Ahli Parlimen Kuantan