Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Calon wanita KEADILAN mahu catat sejarah, yakin raih kemenangan

SHAH ALAM, 10 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin calon wanita parti berkenaan mampu menggalas cabaran seterusnya meraih kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Wanita KEADILAN Fuziah Salleh menjelaskan tiga calon wanita itu aktif dalam kegiatan kemasyarakatan sejak sekian lama selain mereka juga merupakan anak tempatan.

“Kita harap dapat catat sejarah dengan meletakkan wakil rakyat pertama dari KEADILAN di DUN Johor. Semuanya mampu memberi perkhidmatan terbaik,” katanya kepada Selangorkini.

Mengulas potensi mereka, Fuziah menyifatkan Ketua Wanita KEADILAN Johor Napsiah Khamis Maharan yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas mengetahui selok-belok dan masalah penduduk.

Beliau menambah calon DUN Semarang Haryati Abu Nasir dan DUN Tenggaroh Zulinah Johari pula memiliki kewibawaan dan dikenali ramai lantaran lantang menjuarai isu rakyat.

Napsiah berdepan pertandingan tujuh penjuru termasuk tiga calon bebas. Beliau menentang Datuk Ramlee Bohani dari Barisan Nasional (BN) dan Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional).

Nornekman Osman dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga anak bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian turut bertanding. Tiga calon Bebas pula ialah Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Haryati yang juga naib ketua Wanita KEADILAN Johor mencabar penyandang kerusi DUN Semarang dan bekas Exco Kerajaan Johor, Datuk Samsolbari Jamali dari BN. Zulinah berusaha merampas kerusi Tenggaroh daripada penyandangnya K Raven (BN).

KEADILAN menggunakan logo parti dalam PRN Johor yang pengundiannya pada 12 Mac.

Lima lagi wanita termasuk dua penyandang pula membawa cabaran Pakatan Harapan yang menggabungkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam PRN Johor.

Nor Hayati Bachok dari Amanah mempertahan DUN Maharani manakala Liow Cai Tung dari DAP, penyandang kerusi Johor Jaya.

Elia Nadira Sabudin, seorang lagi calon wanita Amanah bertanding di Bukit Pasir manakala calon DAP Marina Ibrahim bersaing kerusi DUN Skudai manakala Ng Kor Sim (Jementah).

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan diseru laksana semula bajet responsif gender

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan dicadangkan memperkenalkan semula penilaian perbelanjaan menerusi bajet responsif gender bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat, kata ahli parlimen Kuantan.

Fuziah Salleh berkata inisiatif itu diperkenal pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) dirangka dengan bantuan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) namun seolah-olah tidak dilaksana lagi menyebabkan negara ketinggalan antaranya dalam aspek kesaksamaan gender.

Menurut wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu kaedah berkenaan harus digunakan bagi menilai keberkesanan program seperti bakul makanan yang diberikan kepada golongan terjejas susulan Covid-19.

“Kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) membabitkan 500 keluarga di 16 rumah kos rendah didapati ketua isi rumah wanita lebih miskin berbanding lelaki malah orang kelainan upaya (OKU).

“Kalau tiada cara menilai bagaimana hendak dipastikan ketua isi rumah wanita ini dapat akses sama, sebab itu bajet responsif gender penting bagi memastikan belanjawan itu memberi kesan kerana keperluan setiap kelompok berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mencadangkan kerajaan membawa rang undang-undang wakaf bagi memperkasakannya dalam RMK12 untuk membantu golongan susah.

“Kita harus mencari cara bagaimana wakaf dan zakat boleh diguna orang miskin untuk mendapat akses pendidikan, kesihatan dan persekitaran baik,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laksana projek rintis KAFA lima kali seminggu

KUANTAN, 5 JAN: Kerajaan akan melaksanakan projek rintis pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selama lima hari seminggu, berbanding tiga hari sahaja sekarang, pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, projek rintis itu akan melibatkan tujuh sekolah kebangsaan setiap negeri dengan tempoh pelaksanaan selama setahun.

Beliau berkata, projek itu bukan hanya membantu meningkatkan pemahaman murid, namun dalam masa sama juga membantu guru KAFA mendapat kontrak jawatan tetap, jika kelas itu dapat dilaksanakan setiap hari persekolahan pada masa akan datang.

“Kebajikan guru KAFA perlu dilihat kerana jika kelas ini hanya tiga hari seminggu, mereka tidak boleh diberi kontrak jawatan tetap kerana dasar penjawat awam menetapkan tempoh bekerja selama lima hari seminggu.

“Jika kita dapat menyerap jawatan guru KAFA sebagai tetap, ia membolehkan guru KAFA dilihat sebagai satu kerjaya selain boleh diberikan gred,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan Kalendar 2020 di Pasar Tani Perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.

Fuziah berkata, kebajikan guru KAFA menjadi keutamaan kerajaan dan sebagai permulaan, mereka mendapat kenaikan elaun sebanyak RM100 menjadikan jumlah baharu RM1,000 sebulan selain memperoleh perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun lepas.

Beliau berkata, projek rintis itu juga akan mengambil modul sekolah agama di Johor sebagai modul contoh kerana mahu KAFA menjadi ‘pelengkap’ kepada sekolah kebangsaan selain melahirkan modal insan yang baik.

“Kokurikulum baharu ini bukan hanya menekankan mengaji atau fardu ain semata-mata tetapi juga pembentukan nilai sebagai Muslim kerana solat seharusnya membantu mendisiplinkan diri selain diterjemahkan dalam nilai murni lain,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM2.33 juta bantu pelajar kurang berkemampuan

KUANTAN, 22 DIS: Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM2.33 juta daripada kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemberian bantuan persekolahan kepada 14,000 pelajar menerusi Program Jom Ke Sekolah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata pemberian kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dan asnaf itu mula disampaikan secara berperingkat sejak November lalu sehingga hujung bulan ini.

Menariknya, bantuan berjumlah RM166.50 bagi setiap pelajar termasuk beg, pakaian seragam dan kasut itu juga turut dinikmati oleh pelajar bukan Islam, yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Di Sabah dan Sarawak contohnya, ramai penerima bantuan program ini bukan beragama Islam seperti dari suku Murut, Kadazan dan sebagainya. Tapi disebabkan ia wang zakat, sebahagian besarnya ialah untuk orang Islam.

“Mereka daripada bukan Islam yang menerima bantuan itu dipilih daripada golongan tidak berkemampuan dan ini sesuai dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Ke Sekolah 2020 Parlimen Kuantan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Zabidi Nasa.

Fuziah berkata pemberian bantuan menggunakan wang zakat juga pernah dijelaskan sebelum ini menerusi fatwa daripada mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang zakat boleh dimanfaatkan kepada bukan Muslim yang hatinya lembut dan tidak menentang Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan menambah, namun yang paling penting ialah pemberian dan agihan itu tidak sampai orang Islam berasa kecil hati, selain ia terpulang kepada fatwa dikeluarkan mufti negeri masing-masing.

“Malah di Wilayah Persekutuan ketika ini juga telah terdapat penerima manfaat wang zakat bukan beragama Islam, contohnya bagi pesakit di pusat-pusat dialisis yang menerima bantuan MAIWP,” katanya.

Bagi Parlimen Kuantan, Fuziah berkata seramai 506 murid terpilih daripada 21 sekolah sekitar kawasan Parlimen ini menerima bantuan tersebut dan daripada jumlah itu, 43 orang bukan beragama Islam.

Beliau berharap pemberian bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan selain menaikkan semangat pelajar untuk kembali ke sekolah tahun hadapan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan cari jalan turunkan kos haji

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan sedang mengkaji menurunkan kos urusan haji menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Exco Urusan Haji di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, jawatankuasa berkenaan antara lain akan meneliti aspek-aspek yang menyebabkan kos menunaikan rukun Islam kelima itu tinggi, termasuk caj penginapan dan tiket penerbangan supaya kadarnya dapat dikurangkan.

“Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk menurunkan kos operasi haji. Jika kita lihat untuk 2019, jemaah haji perlu membayar RM9,980 dengan subsidi yang ditanggung kerajaan sekitar 55 peratus iaitu RM12,900.

“Kita kaji kos yang ditanggung oleh jemaah haji ini berikutan tiada perubahan yang ketara untuk jumlah itu dalam tempoh 10 tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, selama ini kos paling tinggi membabitkan tiket penerbangan dan tempat tinggal, selain sedang “meneroka” untuk menjadikan sebahagian penerbangan “chartered” dan sebahagian lagi komersial berbanding sebelum ini yang kesemuanya 100 peratus chartered.

Fuziah berkata, jawatankuasa berkenaan juga sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan hanya jemaah haji muassasah yang layak sahaja menerima subsidi bersasar, berbanding sebelum ini yang mana Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung semua subsidi bagi jemaah kali pertama dan yang membuat rayuan.

“Kita akui mereka yang harus terima subsidi ini ialah mereka yang nak pergi haji tetapi tidak mampu, simpan duit bertahun-tahun sampai umur 70 tahun tapi duit masih tidak cukup, mereka ini yang seharusnya dibantu untuk dapat pergi haji,” katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata, garis panduan etika berpakaian di tempat kerja sudahpun disemak oleh panel syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang mana ia akan memastikan tidak akan berlaku diskriminasi terhadap pekerja terutamanya wanita yang ingin memakai pakaian patuh syariah.

“Contohnya dia tidak dibenarkan menutup aurat, jadi itu diskriminasi. Sekiranya garis panduan ini diguna pakai nanti, kita akan melihat dan kaji semula perkara itu dan dasar-dasar yang berkaitan dengannya,” katanya.

Beliau berkata, Jakim tidak boleh mengenakan (apa-apa) sekarang bagi bukan Islam dan belum dilihat dari sudut berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Sekumpulan 26 rakyat Malaysia terkandas di Jeddah

MAKKAH, 6 OGOS: Sekumpulan 26 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini sejak pukul 7 pagi semalam setelah kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan mereka untuk mengerjakan haji pada musim ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, kumpulan itu tiba menggunakan penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

“Petugas haji kita sedang menjaga kebajikan mereka, jaga makan minum pastikan mereka dalam keadaan selesa dan sebagainya. Apa boleh kita buat adalah melihat kepada kebajikan mereka.

“Saya ingin memaklumkan kepada keluarga mereka di Malaysia bahawa pihak (Lembaga) Tabung Haji menjaga kebajikan mereka walaupun mereka pergi bukan di bawah Tabung Haji. Mereka lalu penerbangan komersial, jika mereka lalu Makkah Route imigresen sudah kesan awal visa mereka ada masalah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini dipercayai perjalanan kumpulan itu diuruskan sebuah syarikat, bagaimanapun kerajaan Malaysia menyerahkan sepenuhnya siasatan serta tindakan terhadap perkara itu kepada pihak kerajaan Arab Saudi.

Katanya, kumpulan itu akan diterbangkan pulang ke Malaysia malam ini setelah semua proses diperlukan kerajaan Arab Saudi diselesaikan. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Runding saiz khemah Arafah, Mina bagi keselesaan jemaah haji

MAKKAH, 5 OGOS: Saiz khemah lebih besar di Arafah dan Mina antara penambahbaikan yang wajar dirunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselesaan jemaah haji Malaysia mengerjakan ibadat Masyair.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, ruang yang selesa amat penting kerana jemaah haji akan menghabiskan masa selama empat hari untuk ibadat Masyair di kawasan itu.

“Ruang di Mina kita lihat kira-kira 7.2 kaki persegi (0.67 meter persegi) (untuk seorang jemaah), ruang ini kira juga daripada mula ke akhir Masyair itu dalam masa empat hari.

“Ruang agak tidak cukup, kurang daripada 2 kaki x 7 kaki. Kita boleh runding tetapi kawasan itu diwartakan macam itu,” katanya pada sidang media selepas melawat jemaah haji dan meninjau operasi haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj Janadriyah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof; Anggota Lembaga Pengarah TH, Datuk Ahamed Basheer Mohd Hussain dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Untuk rekod, di Arafah sebanyak 151 khemah dengan luas binaan keseluruhan 34,520 meter persegi dibina untuk jemaah haji Malaysia, manakala di Mina sebanyak 403 khemah dengan luas binaan keseluruhan 25,314 meter persegi dibina.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Sementara itu, Fuziah berkata bagi menyelesaikan isu senarai menunggu haji yang panjang, bermula tahun ini mereka yang telah mengerjakan haji tidak akan dibenarkan mendaftar semula untuk mengerjakan haji untuk kali kedua.

“Kita faham isu warga emas menunggu terlalu lama untuk mengerjakan haji jadi kita timbang pelbagai cara (selesai masalah) untuk mempercepatkan giliran menunggu, cabaran itu besar tetapi Anggota Lembaga Pengarah (TH) komited untuk menyelesaikannya,” katanya.

Mengulas mengenai operasi haji tahun ini, beliau berkata TH wajar dipuji kerana berjaya memastikan operasi haji tahun ini berjalan lancar dan inisiatif seperti Makkah Route diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Malaysia dipilih untuk Makkah Route ini sejak tiga tahun lalu kerana pengurusan haji kita adalah yang terbaik yang mana amat memudahkan jemaah, saya lihat ambil masa amat singkat untuk proses imigresen jemaah haji kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usaha serap guru KAFA di peringkat akhir

KUANTAN, 13 JULAI: Usaha menyerap guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke skim perjawatan tetap, kini berada di peringkat akhir, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Katanya kertas kerja cadangan mengenainya telahpun disiapkan dan pihaknya kini sedang dalam usaha mendapatkan maklum balas, selain berunding dengan mereka yang berkepentingan dalam isu tersebut.

“Rundingan membabitkan aspek pelaksanaan dan pada Isnin ini, kita juga akan berbincang dengan ahli Parlimen,” katanya selepas merasmikan Pameran Malaysia Baharu bersempena Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Pahang 2019 anjuran Jabatan Penerangan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa.

Media sebelum ini melaporkan cadangan lantikan guru KAFA ke skim perjawatan tetap itu dijangka dibentangkan ke Kabinet pada Julai, dengan jangkaan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Dianggarkan terdapat 31,460 orang guru KAFA bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis KAFA seluruh negara ketika ini.

Sementara itu Fuziah berkata pertandingan pengisahan kenegaraan yang membabitkan generasi muda khususnya pelajar sekolah dapat meningkatkan jati diri dan semangat patriotik dalam diri mereka.

“Peserta juga berpeluang menjelaskan nilai positif dalam menghargai pengorbanan tokoh negara kepada masyarakat, dan mengambil teladan daripada sejarah untuk sama-sama membantu mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, itu turut memberi peluang kepada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuka ruang pameran bagi mendekati masyarakat dan golongan sasar.

Kumpulan Pewaris Bangsa dari Lipis dinobatkan sebagai juaran pertandingan pengisahan kenegaraan peringkat Pahang tahun ini, dan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan selain akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Mereka menewaskan 10 kumpulan lain, dengan tempat kedua dimenangi pasukan Anak Warisan Timur dari Raub, manakala kumpulan Kirana Jauhari yang mewakili Pekan menduduki tempat ketiga.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PAKATAN beri kerjasama isu ugut ketua polis daerah

KUANTAN, 21 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) Pahang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan seorang pemimpin bahagian salah sebuah parti komponennya mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut.

Pengerusinya, Fuziah Salleh berkata, mereka mahu siasatan dijalankan dengan telus dan tanpa rasa takut atau pilih kasih kerana menghormati prisip keadilan dan undang-undang.

“Apa yang salah tetap salah. Kita tidak dikecualikan dari undang-undang, apatah lagi sebagai seorang pemimpin, kita harus menjadi contoh kepada rakyat, jadi kami memberikan ruang secukupnya kepada polis untuk menyiasat.

“Saya mengingatkan semua pemimpin PH untuk menunjukkan contoh yang baik. Jangan rasa kita hebat atau besar kerana sikap sedemikian salah. Sentiasa merendah diri seperti pepatah ular menyusur akar tidak hilang bisanya,” katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian semasa ditemui di Majlis Tadarus al-Quran dan Iftar Jama’ie Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Pahang 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas laporan penahanan seorang pemimpin parti DAP berusia 53 tahun Ahad lalu, bagi membantu siasatan dakwaan mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan menerusi pesanan WhatsApp yang didakwa berlaku, pada Khamis lalu.

Suspek dikatakan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis Ibu Pejabat Daerah Jerantut merampas dan menahan rokok serta minuman keras tidak bercukai, yang dijual seorang lelaki yang juga memegang jawatan dalam parti.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat proses rakaman percakapannya pada petang Ahad lalu.

Fuziah berkata mengetahui berkenaan insiden itu pada malam Ahad, dan berhubung dengan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah untuk mendapatkan penjelasan.

“Kita minta beliau siasat apa yang berlaku dan mahu melihat apa tindakan seterusnya parti terlibat. Tapi saya akui perkara itu ada dibincangkan dalam PH Pahang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anggota lembaga pengarah Yapeim putus kedudukan Abibullah

KUANTAN, 18 MEI: Sebarang tindakan terhadap Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Datuk Abibullah Samsudin akan diputuskan oleh anggota lembaga pengarah yayasan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, perkara itu selari dengan amalan kerajaan Pakatan Harapan yang meletakkan tanggungjawab mentadbir kepada anggota lembaga pengarah sesuatu agensi.

“Saya percaya mereka akan mengambil tindakan sewajarnya dan yakin akan ada kenyataan daripada pengerusi anggota lembaga pengarah Yapeim (berhubung perkara ini),” katanya.

Fuziah ditemui selepas menghadiri Program Sepakat@Komuniti Ramadan 2019 anjuran Jabatan Penerangan Pahang bagi meraikan 28 kanak-kanak dari Rumah Permata Al-Insyirah di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media berhubung tindakan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil membuat laporan polis hari ini, berhubung penularan video seorang lelaki didakwa kononnya Abibullah mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lepas.

Fuziah, yang juga Anggota Parlimen Kuantan sekali lagi menegaskan kerajaan hari ini tidak melakukan politik balas dendam terhadap Abibullah atas perbuatan lepas kerana tindakan sedemikian disifatkan sebagai tidak profesional dan tidak adil.

Katanya, apa yang penting adalah kerajaan menilai prestasi kerja dan tahap profesionalisme individu itu di pejabat selain Abibullah juga menyedari bahawa beliau kini perlu bekerja mengikut dasar kerajaan yang memerintah.

“Jika wujud unsur ugutan kepada pihak pekerja sebelum pilihan raya, mereka boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa. Itu adalah hak pekerja dan bukan dalam bidang tugas saya,” katanya.

Pada perkembangan lain, Fuziah memaklumkan bahawa pejabat Parlimen Kuantan telah memperuntukkan lebih RM100,000 untuk melaksanakan program Semarak Kasih Ramadan di masjid dan surau selain program bantuan kepada golongan asnaf pada tahun ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fuziah: Tidak timbul isu aset TH diurus bukan Islam

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Isu berhubung aset Tabung Haji (TH) yang didakwa diuruskan ketua pegawai eksekutif bukan Islam tidak timbul, kata Fuziah Salleh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, aset berkenaan dipindahkan kepada syarikat tujuan khas SPV, Urusharta Jamaah Sdn Bhd diketuai Izad Shahadi Mohd Sallehuddin yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif, pada 2 April lalu.

Katanya, penubuhan SPV yang dimiliki kerajaan dikenali sebagai UJSB itu bertujuan membantu mengambil alih aset Lembaga Tabung Haji yang mengalami kejatuhan nilai bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti badan berkenaan.

“Pelantikan ini (Izad Shahadi) sebagai langkah pembentukan pasukan pengurusan di UJSB bagi memastikan kelangsungan proses pemulihan aset yang dipindahkan TH.

“Maka tidak timbul isu pelantikan pegawai eksekutif bukan Islam yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Fahariyah Md Nordin pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Fuziah berkata, dokumen yang digunakan untuk mengambil alih aset itu adalah melalui Perjanjian Pemindahan Aset dan bukan melalui Perjanjian Jual Beli.

Katanya, kerajaan perlu mengambil alih aset berkenaan pada harga premium bagi menutup jurang defisit di antara aset dan liabiliti TH.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pupuk nilai Islam melalui maqasid syariah

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Malaysia memupuk kebudayaan dan nilai Islam menerusi mesej rahmatan lilalamin dan maqasid syariah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

“Ia diterjemahkan menerusi tindakan seseorang dan personaliti hebat, yang sekaligus akan membentuk model negara Islam berbilang kaum yang boleh diteladani dunia luar,” katanya semasa berucap di majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam ucapannya Fuziah turut mengalu-alukan kehadiran para hakim dan dan semua 107 peserta dari 71 negara itu ke Majlis Tilawah tahun ini yang bertema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

“Penyertaan dari pelbagai negara melambangkan sokongan serta galakan mereka terhadap kerajaan Malaysia, walaupun berada beribu batu jauhnya, di mana mereka masih sanggup menyertai acara berprestij ini.

“Menjadi harapan saya agar semua pihak mengambil peluang ini untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat, saling bertukar pandangan serta maklumat, saling menyelami kebudayaan antara satu sama lain, dan lebih penting, menghayati keindahan bacaan Al-Quran,” tambahnya.

Fuziah berkata, pihak sekretariat turut menganjurkan beberapa siri lawatan kepada para peserta dan hakim sebagai sebahagian daripada acara untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia.

KUALA LUMPUR, 16 April — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Sebanyak 70 negara termasuk tujuh negara yang menyertainya buat pertama kali iaitu Azerbaijan, Montenegro, Kenya, Ivory Coast, Sweden, Norway dan Austria yang berlangsung selama enam hari.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada majlis pembukaan hari ini empat peserta memperdengarkan bacaan Al-Quran termasuk Harit Puang-Manee (Thailand), Mohammed Zalef Atiyah (Iraq), Man Mariyas (Cambodia) dan Mammadov Tural Ikhtiyar (Azerbaijan).

Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa akan berlangsung selama lima hari bermula malam ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka akan menutup majlis tilawah nanti. -BERNAMA