Categories
SELANGOR

Umno perlu Ketua Pembangkang bukannya ‘sub kontraktor’ protes

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 MAC: Umno-Barisan Nasional (BN) gagal mengambil peluang diberikan seluas-luasnya oleh Dewan Negeri Selangor (DNS) untuk membongkar sebarang isu penyelewengan di Selangor apabila gagal menamakan Ketua Pembangkang DNS.

Ketua Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh berkata, hal ini berikutan DNS sebelum ini memandatorikan kerusi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) DNS hendaklah dipegang oleh Ketua Pembangkang.

“DNS memandatorikan Pengerusi PAC mestilah seorang Ketua Pembangkang di mana peluang terbaik dan profesional yang menepati kehendak Jamal Yunos dan dia sepatutnya menasihati Ketua Umno Selangor menamakan Ketua Pembangkang dengan segera, bukannya buat protes depan pintu pagar SUK dengan cara tak senonoh.

“Cara ini lebih efektif untuk mereka lakukan semak dan imbang di sebuah negeri seperti Selangor. Tak guna hanya buat laporan polis, lapor Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), protes depan gate tetapi bila diberi ruang buat cara yang betul dalam mesyuarat PAC sebagai Ketua Pembangkang tak mahu.

“Saya hanya nak bagi tahu beliau, jangan bazir tenaga di tempat salah dengan prop yang banyak dengan katil, kereta jenazah di luar gate SUK tetapi sepatutnya cepat lantik Ketua Pembangkang kerana cara itu adalah terbaik dan lebih profesional untuk membongkar rasuah,” katanya.

Beliau yang juga Speaker DNS itu berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Damansara Utama di sini, semalam.

Jelasnya, tindakan Jamal membuat protes dengan menggunakan pelbagai prop seperti katil, van jenazah dan lain-lain sejak kebelakangan ini hanya menunjukkan beliau adalah ‘sub kontraktor’ bagi pihak Umno-BN membuat protes dalam isu yang tidak berani dibangkitkan Umno-BN Selangor.

Katanya, gaya protes yang dibuat Jamal juga tidak menghormati dan menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan kaum wanita dengan menunjukkan adegan mengurut dan lain-lain.

=EZY=