Categories
PBT SELANGOR

1,689 tong sampah MGM120L diedar percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APRIL: Sejumlah 1,689 unit tong sampah MGB 120L akan diserahkan secara berperingkat kepada penduduk sekitar Seksyen 13, di sini di setiap kawasan kediaman secara percuma.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pengedaran tong sampah merupakan inisiatif berterusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memberikan pendedahan kepada penduduk supaya menguruskan sisa domestik dengan teratur.

Katanya, ia bertujuan mewujudkan bandar raya Shah Alam bersih dan indah selaras matlamat Shah Alam ke arah ‘zero waste’.

“Penyediaan tong sampah ini juga bertujuan melancarkan kerja kutipan sampah domestik serta mengelakkan kacau ganggu kepada persekitaran sekiranya sampah tidak dibuang atau dikumpulkan di tempat tidak sepatutnya.

“MBSA komited dengan usaha mendidik masyarakat dan menerapkan kepentingan menjaga alam sekitar kepada komuniti setempat,” katanya di Majlis Pengedaran Tong Sampah percuma kepada penduduk di Laman Sanur.

Zaharin berharap penduduk sekitar dapat menggunakan tong sedia ada dengan sebaiknya bagi membantu melancarkan gerak kerja kontraktor yang dilantik.

“MBSA membelanjakan kos tinggi iaitu hampir RM10 juta untuk pembelian tong-tong ini.

“Banyak Pihak Berkuasa Tempatan lain tidak berkemampuan melaksanakannya, namun menjadi tanggungjawab MBSA memastikan penduduk sekitar berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Dalam program itu, sebanyak 80 unit tong sampah diserahkan kepada penduduk Laman Sanur.

=EZY=