Categories
GLOBAL

Apa berita antarabangsa hari ini? Trak radioaktif dicuri, rompakan abad ini, India dilanda gelombang panas

Berikut adalah ringkasan berita antarabangsa sehingga jam 12.15 tengah hari, 25 APRIL 2017:

 

1. MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico melaporkan trak pikap sebuah syarikat membawa peralatan X-ray industri yang menggunakan bahan radioaktif dicuri di barat laut Mexico.

Jabatan Dalam Negeri berkata, trak itu dicuri di Tlaquepaque, pekan di negeri Jalisco, kelmarin. – AP

 
2. ASUNCION: Seorang anggota polis maut apabila puluhan anggota kumpulan jenayah Brazil meletupkan peti besi mengandungi jutaan dolar semalam, dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai ‘rompakan abad ini’.

Kira-kira 50 penyerang yang membawa bom tangan dan senjata tentera menyebabkan bandar raya Ciudad del Este kelihatan seperti zon perang selepas serangan selama dua jam ke atas firma keselamatan dan ibu pejabat polis, kata pihak berkuasa. – AFP

 
3. KABUL: Presiden Afghanistan Ashraf Ghani menerima peletakan jawatan menteri pertahanan dan ketua tenteranya pada Isnin, selepas serangan Taliban paling dahsyat terhadap sebuah pangkalan tentera pada Jumaat, menurut pejabat presiden.

“Menteri Pertahanan Abdullah Habibi dan Panglima Tentera Qadam Shah Shahim meletak jawatan berkuatkuasa serta merta,” istana presiden mengumumkan melalui akaun Twitter. – AGENSI

 
4. DUBAI/WELLINGTON: New Zealand sedang mempertimbangkan larangan membawa komputer riba dan peralatan elektronik besar lain dalam ruang kabin penerbangan, bagi pesawat dari negara Islam di Asia Barat, kata Perdana Menterinya pada Isnin.

Peraturan baharu itu merupakan langkah yang hampir sama yang dilaksanakan Amerika Syarikat, Britain dan Australia. AGENSI

 
5. PARIS: Keputusan akhir pusingan pertama pilihan raya Presiden Perancis yang dikeluarkan hari ini menunjukkan calon berhaluan sederhana dan pro Kesatuan Eropah (EU), Emmanuel Macron meraih 24.01 peratus dan pemimpin sayap kanan, Marine Le Pen dengan 21.30 peratus.

Keputusan itu tidak banyak berbeza dengan keputusan undian awal semalam, di mana kedua-dua calon layak bertanding dalam saingan seterusnya pada 7 Mei ini.

Sementara itu, calon konservatif yang dilanda skandal, Francois Fillon berada di tempat ketiga dengan 20.01 peratus diikuti calon yang disokong parti komunis, Jean-Luc Melenchon dengan 19.58 peratus. – AFP

 
6. Kremlin mendakwa mereka ‘menghormati’ keputusan pusingan pertama Pilihan Raya Presiden Perancis hari ini dan menafikan berpihak kepada calon tertentu untuk menang.

“Kami menghormati pilihan rakyat Perancis. Kami cuma mahu mewujudkan hubungan baik yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov seperti dilaporkan oleh agensi berita tempatan. RIA NOVOSTI.

7. TURKI: Kerajaan Turki mengecam insiden pembakaran bendera negara itu di Armenia semasa ulang tahun negara itu di ibu kota Yerevan pada Isnin. ANADOLU AGENCY

 
8. EDINBURGH: Majoriti pengundi Scotland tidak mahu satu lagi pungutan suara untuk merdeka daripada United Kingdom (UK) dan sokongan terhadap pemisahan wilayah itu dilihat kian lemah, menurut tinjauan dilakukan firma Kantar.

Sebahagian besar pengundi Scotland mahu kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) pada pungutan suara Jun lalu dan keputusan itu berbeza dengan penduduk UK keseluruhannya yang mahu negara itu keluar EU. – REUTERS

 
9. NEW DELHI: India berhadapan gelombang panas terbaru sehingga 45 darjah celsius. Pada gelombang panas lalu ratusan terkorban apabila suhu dicatatkan 51 darjah Celsius. Pada 2015, gelombang panas itu menyebabkan lebih 2,300 terkorban. CNN

 

10. PEMBINAAN stadium baharu Atletico Madrid, Wanda Metropolitano yang kini rancak dibangunkan bakal menyaksikan Los Colchoneros memiliki ‘rumah’ baharu menjelang September ini sekaligus menggantikan stadium ikonik mereka, Vicente Calderon. – MSTAR

 
11. KOREA SELATAN: Korea Utara dilaporkan menjalankan latihan ketenteraan besar-besaran menggunakan artileri di kawasan Wonsan pada Selasa semasa ulangtahun ke-85 tentera Korea Utara, kata jurucakap rasmi Kerajaan Korea Utara – YONHAP NEWS

 
DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT