Categories
KENYATAAN MEDIA

Apa jadi dengan status ‘bandar raya’ Seremban?

OLEH AMINUDDIN HARUN

Baru-baru ini saya terbaca artikel berkenaan kewujudan sistem aplikasi pembayaran tiket yang pertama kali akan digunakan di Seremban.

Sebagai satu pembaharuan teknologi, saya ucapkan tahniah atas usaha Majlis Perbandaran Seremban.

Walaubagaimanapun, sistem pembayaran manual juga perlu dikekalkan memandangkan tidak semua orang menggunakan aplikasi melalui telefon bimbit dan mempunyai kemudahan internet untuk melayarinya.

Apabila bercerita berkenaan Seremban, saya teringat ketika Majlis Perbandaran Seremban bergabung dengan Majlis Perbandaran Nilai, ada ura-ura Kerajaan Negeri berhasrat mewartakan Seremban sebagai bandar raya.

Ketika itu, Datuk Abd Halim Latif yang menyatakan rancangan terbabit dalam sebuah akhbar bertarikh 1 Oktober 2015. Antara yang dijanjikan adalah kemudahan asas dan infrastruktur baik serta keseragaman sistem pencukaian untuk pihak berkuasa tempatan.

Sampai bila Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban, Datuk Abd Halim hendak memangku jawatan sebagai Yang Dipertua Nilai? Tiada siapakah yang layak selain beliau?

N13Kini sudah 2017, Seremban masih tidak tergolong dalam kategori bandar raya. Saya berharap pihak berkuasa menjawab persoalan ini segera memandangkan rakyat Negeri Sembilan mahu isu ini diselesaikan kerana status ini dianggap sebagai lambang kemajuan sesebuah ibu negeri.

Persoalannya, adakah Negeri Sembilan boleh mempunyai bandar raya seperti yang terdapat di kawasan lain?

Bagi saya, soal utama adakah Seremban layak menjadi bandar raya bukanlah sekadar ukuran kemajuan fizikal mahupun tatakelola baik di peringkat kerajaan tempatan.

Tetapi isu utama perkara ini adalah kemampuan Seremban untuk menarik pelabur dan pelancong memeriahkan bandar itu.

Jika bandar raya lain dalam negara ini mampu menarik minat orang luar untuk bertandang – sama ada untuk tujuan pelancongan atau perniagaan, mampukah Seremban berupaya berbuat sedemikian juga?

Penyediaan fasiliti asas sahaja tidak mencukupi untuk membina Seremban sebagai sebuah jenama, tanpa wujud faktor tarikan dari orang luar – sama ada penduduk Malaysia di luar negara mahupun pelancong dan pelabur asing.

Di Kuala Lumpur, cukup terkenal dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC), begitu juga Pulau Pinang yang mempunyai Komtar dan kawasan tarikan lain.

Johor Bahru, Kuching dan Bandaraya Melaka mempunyai tarikannya sendiri. Bagaimana pula dengan Seremban?

Apakah mercu tanda atau simbolik yang menjenamakan Seremban? Itulah perkara yang seharusnya difikirkan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran untuk mencipta faktor tarikan pelabur dan pelancong.

Pada pandangan saya, untuk merealisasikan sebuah bandar raya yang hidup di Negeri Sembilan, perkara asas yang perlu diambil kira adalah pembinaan projek perumahan rakyat serta bangunan kedai yang menambahkan peluang pekerjaan terutama kepada anak muda tempatan.

serembanBegitu juga dengan jaringan pengangkutan awam sistematik, di mana isu ini kurang dibincangkan di peringkat negeri.

Jika Seremban mampu menjadi hub pengangkutan yang dapat menghubungkan dengan Port Dickson, Nilai, Kuala Pilah dan sebagainya, sudah tentu rakyat Negeri Sembilan sendiri akan melihat erti sebenar status ‘bandar raya’ itu.

Saya dan beberapa pimpinan lain Pakatan Harapan sering membincangkan mengenai perihal pembangunan di Negeri Sembilan, yang jarang mendapat perhatian dari Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional.

Bagi kami selaku pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan, seharusnya perlu juga ada projek asas serta projek mercu tanda yang mampu menaikkan nama Seremban di peringkat antarabangsa.

Tidak perlu berbangga dengan sistem e-tiket untuk parkir, sekiranya perkara asas dan mercu tanda di negeri ini tidak diambil perhatian oleh kerajaan, apatah lagi sudah bertahun lamanya pengisytiharaan status ‘bandar raya’ ditangguhkan.

*Aminuddin Harun adalah ADUN Negeri Sembilan