Categories
NASIONAL SUKANKINI

Dakwaan terima rasuah, tiga pemain bola sepak ditahan

SHAH ALAM, 6 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain pasukan bola sepak Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA)kerana disyaki menerima rasuah sebagai habuan bagi mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Sumber SPRM berkata, mereka yang ditahan termasuk pemain import berusia 29 tahun, manakala dua lagi pemain tempatan berusia 26 dan 27 tahun.

Tiga pemain itu dikatakan menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie dan ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

rasuah bola“Siasatan mendapati semua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu, sejak beberapa tahun lalu. Mereka dipercayai mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada rasuah yang diterima,” katanya lapor BERNAMA.

Sumber itu turut membayangkan lebih ramai individu mungkin akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi BERNAMA turut mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau menegaska, SPRM tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan rasuah membabitkan pemain bola sepak ekoran boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.

“SPRM akan terus memantau dan menyiasat pemain bola sepak serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu,” katanya.

-NFN-