Categories
GLOBAL

‘Black Hawk Down’ – seorang maut, dua cedera

LOONARDTOWN 18 APRIL: Seorang maut sementara dua lagi cedera semalam selepas sebuah helikopter tentera Black Hawk terhempas di atas padang golf di Maryland, Amerika Syarikat (AS) ketika penerbangan rutin.

Agensi Berita Antarabangsa AP melaporkan Tentera Daerah Washington dalam satu kenyataan berkata, punca nahas masih disiasat.

Seorang saksi berkata, dia ternampak serpihan jatuh daripada pesawat itu dan seorang lagi memaklumkan ia berpusing sebelum terhempas.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan yang terjejas akibat tragedi ini dan pasukan kami kini menumpukan usaha memberi sokongan ketika menghadapi waktu sukar,” kata Panglima Tentera Ibu Pejabat Serantau dan Tentera Daerah Washington, Mejar Jeneral Bradley A Becker.

Tentera berkata, tiga kru berada dalam pesawat UH-60 Blackhawk untuk menjalani latihan apabila ia terhempas di Leonardtown, kira-kira 97 kilometer di tenggara Washington pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan.

Kenyataan berkata, seorang mangsa cedera parah manakala seorang lagi kritikal.

Bagaimanapun, nama mangsa belum didedahkan sebelum keluarga terdekat dimaklumkan.

=EZY=