Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia diniaga antara 1,730 dan 1,750 minggu depan

KUALA LUMPUR 9 APRIL: Bursa Malaysia dijangka diniaga tidak banyak berubah antara 1,730 dan 1,750 minggu depan berikutan kekurangan pemangkin.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew berkata, keadaan itu mungkin berlaku sehingga akhir bulan ini kerana April adalah bulan transisi bagi akhir suku pertama tahun ini.

“Pada April, tidak ada keputusan korporat. Sebahagian syarikat tersenarai mungkin mengumumkan keputusan mereka pada Mei,” katanya dengan menambah serangan AS ke atas Syria tidak banyak mengganggu pasaran.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank berkata, FBM KLCI dan saham wajaran tinggi dijangka mengukuh, tetapi pemangkin yang banyak dijangka menjadikan pasaran panas pada suku kedua.

“Tumpuan mungkin kepada saham berharga murah dengan pemangkin seperti penstrukturan semula, aliran kerja pembinaan dan penarafan semula hartanah,” katanya dalam satu nota baru-baru ini.

Bursa tempatan diniaga keseluruhannya lebih rendah pada minggu baru berakhir berikutan ketiadaan berita yang menggerakkan pasaran, jangkaan keputusan mesyuarat antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping akhir minggu ini serta serangan peluru berpandu AS ke atas Syria.

Pasaran itu juga menunggu data senarai gaji bukan ladang AS untuk Mac pada Jumaat.

Pada asas minggu ke minggu, FBM KLCI menambah 1.63 mata kepada 1,741.72 daripada 1,740.09.

Indeks Emas FBM Emas naik 51.67 mata kepada 12,413.36, Indeks FBMT 100 menokok 33.87 mata kepada 12,040.56 dan Indeks Syariah Emas FBM menambah 71.59 mata kepada 12,882.93.

FBM 70 melonjak 126.28 mata kepada 14,676.75 dan FBM Ace melambung 366.46 mata kepada 6,193.94.

Pada asas sektor, Indeks Kewangan meningkat 44.37 mata kepada 15,704.04 dan Indeks Perusahaan naik 4.02 mata kepada 3,258.44, tetapi Indeks Perladangan turun 38.74 mata kepada 8,163.78.

Jumlah dagangan mingguan melebar kepada 20.73 bilion unit bernilai RM15.29 bilion berbanding 16.78 bilion unit bernilai RM12.78 bilion minggu lalu.

Volum Pasaran Utama menambah kepada 14.20 bilion saham bernilai RM14.18 bilion berbanding 12.01 bilion saham bernilai RM12.04 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan waran naik sedikit kepada 1.09 bilion unit bernilai RM143.59 juta berbanding 1.04 bilion unit bernilai RM141.24 juta.

Pasaran ACE menokok kepada 5.39 bilion saham bernilai RM959.57 juta berbanding 3.67 bilion saham bernilai RM590.18 juta sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA