Categories
EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 28 APRIL Bursa Malaysia ditutup tinggi pada akhir dagangan pagi susulan sokongan belian saham mewah terpilih diketuai kaunter kewangan, perdagangan dan perkhidmatan.

Pada jam 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.62 mata kepada 1,769.54 berbanding 1,767.92 pada penutupan Khamis.

Indeks utama dibuka 0.06 mata lebih baik kepada 1,767.98. Ia bergerak 4.89 mata antara 1,772.21 dan 1,767.32 di sepanjang dagangan.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 411 berbanding 358, dengan 401 kaunter tidak berubah, 600 kaunter tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.53 bilion saham bernilai RM1.13 bilion. Maybank Investment Bank dalam notanya berkata, pasaran secara menyeluruhnya bercampur-campur, dan menjangkakan aktiviti pengambilan untung akan meningkat hari ini dengan pelabur dijangka mengambil keuntungan yang diperoleh baru-baru ini menjelang hujung minggu yang panjang.

“Kami mengekalkan unjuran bahawa FBM KLCI dijangka didagangkan antara 1,760 dan 1,775 dalam tempoh terdekat. Sokongan menurun dijangkakan antara 1,729 dan 1,715,” katanya.

Indeks FBM Emas meningkat 16.48 mata kepada 12,629.97 dan Indeks FBMT100 menambah 15.38 mata kepada 12,259.74, manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.92 mata kepada 12,966.02.

FBM 70 meningkat 34.59 mata kepada 15,044.86, manakala FBM Ace menambah 27.70 mata kepada 6,227.17.

bursa-sahamMengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 36.82 mata kepada 16,274.82 dan Indeks Perladangan susut 41.20 mata kepada 8,054.16, manakala Indeks Perusahaan turun 1.98 mata kepada 3,225.49.

Penggerak utama dalam saham komponen FBM KLCI ialah Maybank yang untung enam sen kepada RM9.60, TNB meningkat 12 sen kepada RM13.98, Genting Malaysia menambah tiga sen kepada RM5.86, manakala RHB Bank menokok empat sen kepada RM5.38.

Dutch Lady adalah kaunter paling untung, meningkat 60 sen kepada RM57.60, manakala kaunter paling rugi, Scientex turun 27 sen kepada RM8.37.

Antara kaunter aktif, Key Alliance dan Tiger masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan 7.5 sen, dan XOX menokok setengah sen kepada 12 sen manakala RGB meningkat 1.5 sen kepada 33 sen, dan EA Holdings serta Iris masing-masing susut setengah sen kepada 10.5 sen dan 20.5 sen.

*Sumber: BERNAMA