Categories
NASIONAL

Stanchart beri keistimewaan wanita bersalin

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Standard Chartered Bank Malaysia (Stanchart) mengumumkan pelaksanaan cuti bersalin 20 minggu bergaji penuh kepada kakitangannya.

Ketua Sumber Manusia Stanchart, Florence Foo berkata, manfaat itu adalah sebahagian daripada langkah penambahbaikan pada manfaat pekerja bagi merealisasikan budaya mesra keluarga bank terbabit.

Katanya, pekerja lelaki juga akan menikmati cuti dua minggu jika isteri bersalin, manakala ibu bapa angkat baharu turut berhak mendapat cuti dua minggu dan bergaji penuh.

“Manfaat itu merangkumi semua pekerja bank tanpa mengira tempoh perkhidmatan selain melaksanakan amalan kerja fleksibel.

“Kakitangan ditawarkan pilihan untuk bekerja separuh masa, memilih waktu kerja anjal atau bekerja dari rumah pada hari terpilih, tertakluk pada tugasan selepas memperoleh kelulusan daripada pengurus,” katanya dalam kenyataan.

48_bigPada masa sama, katanya, Stanchart sentiasa berusaha menambah baik kebajikan kakitangan, selain mengekalkan dan melatih pekerja.

“Kajian dalaman dijalankan menunjukkan motivasi pekerja meningkat setelah mereka memperoleh sokongan lebih baik dalam integrasi kehidupan profesional dan peribadi mereka,” katanya.

Sebelum ini, Maybank memberi kebenaran cuti bersalin kepada kakitangan wanitanya yang layak sehingga setahun.

Manfaat itu diperkenalkan selepas membuat semakan menyeluruh terhadap dasar dan program yang kini ditawarkan oleh kumpulan.