Categories
SELANGOR

Dua maut tertimbus tanah di Kajang

KAJANG 22 APRIL: Dua pekerja binaan warga Bangladesh maut akibat tertimbus selepas tebing berhampiran rumah kongsi didiami runtuh di Jalan Hulu Langat di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua lagi pekerja lagi berjaya diselamatkan tetapi seorang daripada mereka cedera di kaki, lapor BH ONLINE.

Semua mangsa tidur ketika kejadian sebelum hujan lebat dipercayai menyebabkan tebing itu tiba-tiba runtuh lalu menghempap dua bilik rumah kongsi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ahmad Hisham Abdul Rahman, berkata kejadian membabitkan runtuhan tebing berkeluasan 18 meter persegi.
Beliau berkata, panggilan diterima pada jam 4.09 pagi dan menggerakkan satu jentera dengan enam anggota ke lokasi kejadian.

“Kejadian membabitkan empat mangsa. Dua mangsa selamat manakala dua lagi tertimbus.

“Mangsa yang tertimbus dikeluarkan oleh rakan mereka sebelum bomba tiba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Ahmad Hisham berkata, mangsa yang meninggal dunia berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an tetapi identiti mereka belum dikenal pasti.

=EZY=