Categories
GLOBAL

Dua pegawai tentera Afghanistan letak jawatan

KABUL, 25 APRIL: Menteri pertahanan dan ketua tentera Afghanistan meletak jawatan selepas serangan Taliban paling dahsyat berlaku di pangkalan tentera, pada Jumaat lalu.

Menerusi Twitter, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menerima peletakan jawatan Menteri Pertahanan, Abdullah Habibi dan Panglima Tentera, Qadam Shah Shahim berkuat kuasa serta-merta.

Bercakap kepada Reuters, pemangku jurucakap presiden, Shah Hussain Murtazawi berkata, perletakan jawatan itu ekoran serangan tiga hari lalu ke atas sebuah pangkalan tentera utama di bandar Mazar-i-Sharif.

Pada Jumaat, kira-kira 140 tentera Afghanistan terbunuh dalam serangan militan Taliban yang menyamar sebagai askar dengan memakai pakaian seragam tentera.

Militan itu dilaporkan memandu kenderaan tentera dan memasuki pangkalan tentera di bandar berkenaan serta melepaskan tembakan dengan menyasarkan askar yang sedang makan sebelum meninggalkan masjid selepas solat Jumaat.

Ashraf Ghani mengisytiharkan Ahad lalu sebagai hari berkabung dan mengarahkan bendera dikibar separuh tiang.