Categories
GLOBAL

Seorang rakyat Malaysia antara 3 warga asing dibunuh di Afghanistan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 2 OGOS: Agensi Berita Tempatan Afghanistan TOLO NEWS melaporkan sumber polis mengesahkan mayat tiga warga asing ditemui di daerah Mussahi pagi ini.

Dilaporkan tiga rakyat asing yang bekerja di Kabul dibunuh pada hari Khamis pagi oleh lelaki bersenjata tidak diketahui.

Seorang India, seorang rakyat Malaysia dan seorang rakyat Macedonia dilaporkan telah diculik pada awal pagi dan mayat mereka kemudiannya ditemui di daerah Mussahi di wilayah Kabul.

Mereka diculik dari PD9 di bandar raya ini.

Polis telah mengesahkan insiden itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut walaupun dipercayai lelaki itu bekerja untuk syarikat logistik.

Tiada kumpulan yang masih belum bertanggungjawab untuk kejadian itu.

Sementara itu, REUTERS melaporkan seorang diplomat kanan di sini berkata, ketiga-tiga mereka bekerja untuk syarikat perkhidmatan makanan dan katering kedua terbesar di dunia, Sodexo.

 “Seorang rakyat India, seorang Malaysia dan seorang Macedonia diculik dan dibunuh. Kami sudah menemui mayat mereka,” kata jurucakap Ketua Polis Kabul, Hashmat Stanekzai kepada Reuters.

Seorang pegawai keselamatan Afghanistan berkata, mereka menemui kad pengenalan bersebelahan mayat mangsa dan sedang mencari maklumat daripada syarikat berkenaan.

 

SUMBER: https://www.tolonews.com/afghanistan/three-foreigners-killed-after-being-kidnapped-kabul#

Categories
GLOBAL

Gencatan senjata Afghanistan dilanjut

OLEH SHEEDA FATHIL

JALALABAD, 17 JUN: Kerajaan Afghanistan melanjutkan gencatan senjata dengan militan Taliban ekoran pengeboman nekad yang meragut 25 nyawa.

Justeru, kejadian itu mencemarkan perayaan Aidilfitri yang sepatutnya menjadi meriah antara militan dan anggota tentera saling berpelukan bagi meraikan perjanjian tidak pernah dibuat sebelum ini.

Presiden Ashraf Ghani membuat pengumuman itu menerusi ucapan di televisyen yang turut meminta Taliban melanjutkan gencatan selama tiga hari itu, yang dijangka berakhir malam ini.

Bagaimanapun, setakat ini, militan belum memberi sebarang reaksi.

“Saya mengarahkan pasukan keselamatan untuk kekal pada kedudukan bertahan,” katanya.

Gencatan senjata itu dijangka berakhir Selasa ini.

Kenyataan Ghani dibuat pada hari kedua sambutan Aidilfitri.

Ia ditunjukkan dengan keadaan mengagumkan dengan militan Taliban memeluk, malah solat bersama pasukan keselamatan, ahli politik dan penduduk awam di seluruh negara itu, dalam luahan emosi besar-besaran berhubung gencatan senjata pertama negara itu sejak pencerobohan Amerika Syarikat, pada 2001.

Serangan semalam ke atas orang ramai yang meraikan gencatan senjata di daerah Rodat, di wilayah Nangarhar, adalah keganasan besar pertama sejak awal Aidilfitri.

Jurucakap wilayah, Attaullah Khogyani berkata, tiada pihak mendakwa bertanggungjawab di atas serangan itu, yang mengorbankan 25 orang dan mencederakan 54 lagi. – AFP

Categories
GLOBAL

Dua pegawai tentera Afghanistan letak jawatan

KABUL, 25 APRIL: Menteri pertahanan dan ketua tentera Afghanistan meletak jawatan selepas serangan Taliban paling dahsyat berlaku di pangkalan tentera, pada Jumaat lalu.

Menerusi Twitter, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menerima peletakan jawatan Menteri Pertahanan, Abdullah Habibi dan Panglima Tentera, Qadam Shah Shahim berkuat kuasa serta-merta.

Bercakap kepada Reuters, pemangku jurucakap presiden, Shah Hussain Murtazawi berkata, perletakan jawatan itu ekoran serangan tiga hari lalu ke atas sebuah pangkalan tentera utama di bandar Mazar-i-Sharif.

Pada Jumaat, kira-kira 140 tentera Afghanistan terbunuh dalam serangan militan Taliban yang menyamar sebagai askar dengan memakai pakaian seragam tentera.

Militan itu dilaporkan memandu kenderaan tentera dan memasuki pangkalan tentera di bandar berkenaan serta melepaskan tembakan dengan menyasarkan askar yang sedang makan sebelum meninggalkan masjid selepas solat Jumaat.

Ashraf Ghani mengisytiharkan Ahad lalu sebagai hari berkabung dan mengarahkan bendera dikibar separuh tiang.