Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

DUN Kampung Tunku sedia RM500, agih petrol percuma

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 APRIL : Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku memperuntukkan RM500.00 bagi penajaan program agihan petrol percuma kepada masyarakat setempat, di sini.

Ahli Dewan Negerinya (ADN), Lau Weng San berkata, usaha itu dilaksanakan sebagai keperluan membantu masyarakat berdepan senario ketidaktentuan harga petrol di pasaran.

“Rakyat kini berdepan dengan isu penarikan subsidi petrol oleh Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan harga petrol melambung tinggi dan membebankan ekonomi rakyat kebiasaan.

“Justeru apabila usaha ini digerakkan, diharapkan pendekatan ini mampu meringankan beban penduduk DUN Kampung Tunku khususnya penunggang motorsikal di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, seramai 110 penunggang motorsikal menerima manfaat hasil daripada program agihan petrol percuma yang diadakan di Stesen Minyak Petron, SS3 Petaling Jaya, 7 April lalu.

Difahamkan, program sama pernah dianjurkan pejabat DUN Kampung Tunku, Mac lalu.

Sementara itu, beliau menegaskan inisiatif itu bukan dilaksanakan atas dasar politik atau sentimen kepartian bagi tujuan kepentingan pihak tertentu.

Sebaliknya kata Weng San, iniatif itu membolehkan wakil rakyat mendengar setiap keluhan dan permasalahan setempat dengan membantu mereka menggunakan pendekatan berbagai cara.

“Ia bukan menjurus ke arah parti tertentu sama ada mereka penyokong Kerajaan Negeri baru layak menerima bantuan agihan.

“Kami jalankan program ini membabitkan penglibatan umum atas dasar pentadbiran berkebajikan untuk semua rakyat,” katanya.

=EZY=