Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco cabar Umno tunai janji bantu petani

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Negeri mencabar Umno-Barisan Nasional (BN) menunaikan janji membantu golongan tani di Selangor seperti dinyatakan sebelum ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, keperluan itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat manfaat terbaik tanpa mengambil kira sentimen politik.

“Umno kini terdesak. Mereka masih belum menunaikan janji untuk memberi bantuan khusus kepada mangsa serangan wabak hawar daun bakteria (BLB).

“Parti itu berdalih dengan menyembunyikan tanggungjawab di sebalik pemberian bantuan subsidi, malahan dengki dengan tindakan pantas Kerajaan Negeri membantu pesawah dan mangsa BLB menerusi peruntukan besar,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos kononnya Kerajaan Negeri gagal menyalurkan keperluan bantuan kepada petani yang terkesan ekoran wabak BLB.

Sebelum ini, RM8.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membantu pengusaha tani yang terjejas ekoran serangan wabak terbabit.