Categories
SELANGOR

Giat warta rizab sungai Zon Perlindungan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang dalam usaha mewartakan rizab sungai sebagai Zon Perlindungan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, ketetapan itu diambil bagi melindungi sungai dan rizab dari sebarang gangguan kualiti, kuantiti, struktur dan persekitaran fizikalnya.

Katanya, pewartaan itu dilakukan di bawah seksyen 48 (1) Enakmen LUAS 1999 di seluruh negeri dan tiga buah sungai membabitkan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara kini berjaya diwartakan.

Manakala, katanya, baki sungai utama dan anak sungai masih berada di pelbagai peringkat antaranya penyediaan pelan ukur, semakan pelan warta dan perlantikan juru ukur bagi menjalankan kerja ukur mengikut fasa yang ditetapkan.

Sungai Klang“Pewartaan rizab sungai ini merangkumi 50 meter kiri dan kanan tebing sungai. Melalui pewartaan ini terdapat beberapa sekatan dikenakan membabitkan halangan ke atas pembinaan struktur, penggunaan atau penyimpanan bahan kimia, perubahan kontur tanah sedia ada, halangan ke atas pembersihan atau penuaian sayuran termasuk penebangan pokok.

“Ia juga sebagai halangan ke atas pembuangan apa-apa bahan pencemar atau buangan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Seri Andalas, Xavier Jayakumar.

Pada masa sama, Elizabeth memaklumkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang menyediakan inventori lengkap senarai premis berada di dalam atau berhampiran rizab sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sungai.

“Kerajaan Negeri turut mengeluarkan arahan kepada semua PBT untuk menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang atau premis yang menyebabkan pencemaran sungai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata LUAS selaku agensi pengurusan sumber air negeri turut melaksanakan Pelan Pengurusan Sungai Bersepadu atau Integrated River Basin Management (IRBM) bagi lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Pelaksanaan IRBM ini adalah selaras dengan Seksyen 46 (1) Enakmen LUAS 1999 di mana pelaksanaan pelan pengurusan bersepadu adalah bagi tujuan pemuliharaan dan pembangunan mampan mana-mana sumber air.

“Pelan-pelan IRBM ini mengandungi polisi-polisi yang merangkumi strategi yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan,” katanya.

-nR-