Categories
SELANGOR

SIE 2017: Selangor ke arah hub global antarabangsa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Selangor International Expo (SIE) 2017 akan berlangsung selama 10 hari bermula 7 hingga 17 September depan bagi merancak dan memperkasakan lagi ekonomi Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, SIE 2017 memasuki kali ketiga penganjurannya dilanjutkan dari tiga hari kepada 10 hari ekoran sambutan yang memberangsangkan dari pelabur tempatan dan luar negara.

Katanya, Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan Selangor sebagai hub global antarabangsa menerusi kompenan utama iaitu perindustrian dan perkhidmatan sebagai peneraju gagasan Smart Selangor.

“Selangor berhasrat menjadikan negeri sebagai platform bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sehingga peringkat dunia.

“Melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kekuatan negeri menerusi 59.4 peratus dari sektor perkhidmatan dan 29.4 peratus dari sektor perindustrian.

DUN MAC 17 (3)“Oleh itu, slogan menjadikan Selangor sebagai pintu masuk ASEAN dijadikan matlamat utama hub global antarabangsa,” katanya dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri berjaya melancarkan projek ikonik bagi menggalakkan perdagangan antarabangsa melalui lima sektor induk iaitu Elektrik dan Elektronik, Sains Hayat, Makanan dan Minuman, Pengangkutan dan Logistik, serta Jentera dan Kelengkapan.

“Usaha memantapkan e-dagang, bio teknologi, aero angkasa, indsutri halal dijadikan sasaran perdagangan antarabangsa melalui SIE ini. Ia kerana industri ini makin berkembang selari arus ekonomi dunia.

“Sehubungan itu, Invest Selangor akan meneruskan usaha menarik pelabur dan jadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama melalui misi penggalak pelabur,” katanya.

-nR-