Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Identiti Bangsa Malaysia KJ’ mainan lapuk BN

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kenyataan Menteri Umno berhubung kepentingan identiti Bangsa Malaysia membuktikan polisi perkauman Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan.

Naib Pengerusi Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh berkata, kenyataan penting dikeluarkan Khairy Jamaluddin itu juga diyakini bukan satu retorik murahan untuk menghadapi pilihan raya.

Katanya, Menteri Belia dan Sukan itu dilihat benar-benar mahukan segala bentuk perkauman dihapuskan.

“Enam tahun lalu, apabila saya mahu mendaftarkan nama anak yang baru dilahirkan sebagai Anak Malaysia, BN mencemuh usaha kami.

“Saya dan suami dituduh meminggirkan kaum India, mahu melakukan pembersihan etnik dan pelbagai tuduhan jahat lain.

Hannah Yeoh“Maka, kenyataan daripada Khairy ini amat penting. Masa depan Malaysia tidak seharusnya ditakrifkan menerusi kaum,” katanya dalam kenyataan.

Pada 17 April lalu, Khairy berkata, golongan muda mahu dikenali menerusi identiti Bangsa Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang selain mahukan tembok pemisah antara kaum diruntuhkan.

“Mereka mahu melihat identiti lebih bersatu iaitu Bangsa Malaysia kerana dilihat lebih menyerlah daripada identiti kaum dan suku bangsa.

“Aspirasi ini bukan diperolehi hari ini sahaja tetapi banyak didengari dalam proses dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebelum ini,” kata Khairy.

-AA-