Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IWH lancar Parkir Ibu Hamil

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 APR: Sebanyak 12 petak Parkir Ibu Hamil disediakan di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor (SUK) sebagai Inisiatif Hormat Wanita (IWH) pertama.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia termasuk sepuluh petak di Zon A berdekatan pintu masuk 3 yang dikhaskan untuk kakitangan.

Katanya, dua lagi petak disediakan di Zon E iaitu berdekatan pintu masuk utama dan surau SUK.

PARKIR WANITA (5)“Berdasarkan kajian dibuat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), kita dapati ramai mahu majikan menyediakan Parkir Ibu Hamil di tempat kerja, pada dua tahun lalu.

“Mengambil kira maklum balas itu, Kerajaan Negeri hari ini melancarkan parkir khas untuk wanita mengandung sempena Hari Pekerja, berkuatkuasa 1 Mei ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Hormat Wanita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada 2015, UPEN menjalankan kajian ‘Analisa Kajian Keperluan Kemudahan Mesra Wanita di Tempat Kerja membabitkan 2,499 kakitangan Kerajaan Negeri dan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu 1,863 wanita dan 632 lelaki.

Daroyah berkata, sebanyak 93 peratus daripada responden bersetuju berhubung keperluan mewujudkan Parkir Ibu Hamil.

Katanya, kajian sama turut mendapati 94 peratus bersetuju majikan menyediakan bilik laktasi di tempat kerja.

“Maka, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan IHW kedua iaitu Bilik Laktasi di Bangunan SUK, selewatnya Ogos ini,” katanya.