Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN ke Indonesia, kukuh diplomatik serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

JAKARTA, 11 APR: Delegasi KEADILAN mengadakan kunjungan hormat ke atas kepimpinan tertinggi Ketua Umum Paratai Gerindra, Prabowo Subianto di Hambalang, Bogor Indonesia, pada 10 April lalu.

Kunjungan diketuai Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu bertujuan mengukuhkan lagi hubungan membabitkan komponen parti politik dua negara itu.

Antara pimpinan KEADILAN turut mengiringi Mohamed Azmin, Naib Presiden KEADILAN; Shamsul Iskandar Md Akin dan Tian Chua, Ketua Wanita KEADILAN; Zuraida Kamarudin, Timbalan Angkatan Muda KEADILAN; Dr Afif Bahardin, Exco Kerajaan Selangor; Amirudin Shari dan Senator Dr Mohamad Manuty.

MB INDONESIA (7)Pertemuan itu menyaksikan delegasi KEADILAN diberi peluang melihat perkembangan kepelbagaian situasi politik di negara itu oleh Prabowo.

Mengakui keterbukaan dan reformasi perkembangan politik Indonesia, Mohamed Azmin berkata, kepelbagaian itu masih lagi menyaksikan kesepaduan rakyat Indonesia.

“Berbeza tetapi masih satu,” katanya pada pertemuan itu, lapor portal Warta Kota.

Pada masa sama, delegasi KEADILAN meneruskan rangka lawatan ke Indonesia dengan mengadakan pertemuan bersama calon wakil Gabenor DKI Jakarta, Sandian Salahudin Uno di Meradelima Restauran.

Lawatan diadakan ketika masyarakat dunia tertumpu kepada isu pemilihan membabitkan jawatan Gabenor DKI Jakarta, akan datang.

Sementara itu, Sandian turut berkongsi pengalamannya yang pernah berkunjung ke Malaysia khususnya di Selangor sebelum ini.

“Seingat saya, Sepang itu masuk Selangor ya? Kalau begitu pernah dua kali ke Selangor. Pertamanya (ketika) menonton GP Sepang dan kali kedua bercuti bersama keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, delegasi KEADILAN turut mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indoesia (DPR), Fahri Hamzah.

Berkongsi catatan di Twitter, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menghargai sambutan baik pimpinan negara itu.

“Terima kasih kerana menerima kunjungan kami dan memberi pencerahan tentang reformasi Parlimen (Indonesia) #serumpun,” tulisnya.

-NFN-