Categories
KENYATAAN MEDIA

KEADILAN Selangor dukung usaha positif martabat undang-undang syariah

OLEH SHUHAIMI SHAFIEI

KEADILAN Selangor mendukung penuh kenyataan serta pendirian yang telah dikeluarkan oleh Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan usul Rang Undang-Undang meminda Akta 355.

Jesteru KEADILAN Selangor menyeru bersungguh-sungguh semua pihak supaya menghormati hak asas seseorang Ahli Parlimen untuk membentangkan apa-apa juga cadangan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen yang dibenarkan oleh peraturan dewan.

Seharusnya proses serta ruang demokrasi yang wujud di Parlimen dimanfaatkan oleh mana-mana Ahli Parlimen untuk membangkitkan cadangan penambahbaikan polisi-polisi yang berkepentingan kepada rakyat serta memberi lebih banyak manfaat.

Apa yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim bukanlah perkara baru atau bersifat ‘U-Turn’. Apa lagi ia pastinya bukan disebabkan konon adanya tekanan terputusnya tahaluf siyasi dengan PAS maka Anwar mengeluarkan kenyataan itu, sedangkan usul untuk memutuskan hubungan dengan KEADILAN sudah lama wujud dan telahpun di bawa ke muktamar PAS setahun lalu. Anwar hanya mengulangi kenyataan oleh Presiden KEADILAN Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail bertarikh 23hb November 2016 yang dengan tegas; pertama, untuk menghormati hak YB Marang membentang usulnya; dan kedua, untuk mendapatkan jawapan segera daripada Perdana Menteri samada kerajaan sedia membentuk satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti Rang Undang-Undang pindaan tersebut yang dicadang oleh YB Marang.

Setelah menunggu dua tahun dengan pelbagai ‘janji manis’ kepimpinan UMNO seperti mana dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak akhirnya telah menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengambilalih RUU tersebut dan membentangnya seperti dicadang atau dengan pindaan atau perubahan, jika ada. Ini sangat jelas, sudah terang lagi bersuluh bahawa UMNO hanya mempergunakan cadangan usul RUU 355 sebagai alat pemecah perpaduan politik Pakatan. Saat ini nampaknya ia berjaya memecahkan, namun ia juga mungkin boleh menyantumkan kembali Pakatan kerana niat buruk UMNO semakin kelihatan terbonjol keluar.

Walaupun keputusannya sedemikian, KEADILAN Selangor menyeru agar pihak Yang DiPertua Dewan Rakyat akan dapat membenarkan usul RUU 355 dibahaskan di Parlimen pada sidang akan datang walaupun kami terpaksa melalui ranjau di padang permainan kotor politik UMNO.

Ini penting bagi memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan pandangan mereka melalui perbahasan yang matang demi kepentingan rakyat.

KEADILAN Selangor menyokong apa-apa usaha positif untuk memartabatkan undang-undang syariah serta institusi Mahkamah Syariah di negara kita dan sebarang kenyataan yang dikeluarkan mana-mana anggota parti jika berlainan dengan dasar yang dipersetujui secara bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, ia adalah bersifat peribadi sepertimana yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO Invoke.

Pencerahan yang dibuat oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan YB Takiyuddin Hassan adalah bukti bahawa RUU 355 bukanlah berkaitan undang-undang hudud dan ianya tidak melibatkan orang bukan Islam dan ini sekaligus menghilangkan kegusaran umum. Di ulangi, ia bukan hudud! Ini adalah satu langkah pertama dalam proses membincangkan pemerkasaan undang-undang Syariah secara menyeluruh dan tidak akan memberikan kesan kepada masyarakat bukan Islam.

Maka, KEADILAN Selangor ingin sekali lagi menegaskan bahawa RUU 355 ini wajar untuk diberikan sokongan dan perhatian oleh umat Islam dan ianya tidak sama sekali akan menyentuhkan hukuman kepada orang bukan Islam bahkan dalam waktu yang sama KEADILAN juga kekal menghormati hak beragama bagi penganut agama yang lain.

Di Selangor, kita telah berusaha sedaya upaya untuk memertabatkan kedudukan agama Islam dan institusinya termasuk mengangkat kedudukan wanita dimana kita menyaksikan dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah wanita yang pertama di Malaysia telah di lantik dalam masa 2 tahun ini.

KEADILAN Selangor juga bersedia untuk menyertai perbincangan khusus bagi menyampaikan pandangan serta pendirian kami dalam perkara ini sebelum di bawa ke satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang mana kami mahu ianya di bentuk segera.

Semoga semua Ahli Parlimen dan pihak-pihak yang berkaitan dapat bersikap terbuka dalam persoalan Rang Undang-Undang Persendirian seumpama dalam isu RUU 355 yang sebenarnya boleh menjadi medan perkongsian ilmu, bertukar pandangan dan memperkasa agenda demi kebaikan rakyat Malaysia. Kita akan lebih di hormati jika saling memahami, tidak emosi dan kekal sederhana dalam menyampaikan pandangan. KEADILAN Selangor berdiri teguh dengan pendirian ini.

# Shuhaimi Shafiei adalah Ketua Penerangan KEADILAN Selangor  merangkap ADN Sri muda