Categories
NASIONAL

Kedutaan usaha kesan dua rakyat Malaysia di Jakarta

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menggerakkan usaha mencari dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang sebaik tiba ke Jakarta pada 30 Mac lalu, lapor BH Online.

Usaha pencarian dijalankan selepas kedutaan menerima aduan berkenaan kehilangan Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27 dan Mohd Shafa Ahmad, 29, daripada keluarga mangsa, pada 4 April lalu.

Kedutaan Besar Malaysia berkata, usaha pencarian itu dilakukan menerusi semua saluran rasmi yang ada.

“Kedutaan juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia untuk mengesan kedudukan terkini mereka.

“Pada masa sama, keluarga kedua-dua individu ini juga sedang berhubung rapat dengan Kementerian Luar,” katanya dalam kenyataan.

Kamarol Arifin dan Mohd Shafa yang berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor berlepas ke Jakarta menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Khamis lalu.

HILANG 2Mereka berdua dikatakan mahu bercuti ke negara itu selama empat hari dan menonton konsert bersama enam lagi rakan sebelum dijadual pulang semula ke Malaysia, pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak muncul selepas penerbangan dari Jakarta yang sepatutnya dinaiki mendarat di klia2, pada jam 11 malam.

Keluarga Kamarol Ariffin kemudian membuat laporan polis di Balai Polis klia2 dan melakukan semakan di kaunter imigresen.

Semakan mendapati mereka memang berlepas ke Jakarta kira-kira jam 2.15 petang dan tiba di sana Khamis lalu, bagaimanapun tiada rekod menunjukkan mereka pulang ke Malaysia.

-AA-