Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kemelut PPR Lembah Subang selesai

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kemelut pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang mencapai kata sepakat apabila penduduk bersetuju menjelaskan tunggakan sewa mengikut jadual ditetapkan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, persetujuan turut dicapai apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersetuju membersihkan bangunan kediaman.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan mengeluarkan kenyataan untuk mengambil alih pengurusan kediaman, namun komitmen itu tidak dilaksanakan secara sistematik.

“Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali dalam dialog bersama penduduk memaklumkan MBPJ akan melakukan pembersihan bangunan memandangkan persetujuan Kerajaan Persekutuan belum tentu dapat diperolehi.

“Kerajaan Negeri akan tetap dengan komitmen memastikan PPR ini diselenggara dengan baik walaupun pelbagai janji ditabur Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

ISKANDAR SAMADBeliau berkata, perolehan hasil pungutan sewa yang kini mencecah 60 peratus berbanding sebelumnya membuktikan isu berkenaan mampu ditangani secara baik di peringkat negeri.

“Kerajaan Negeri melalui satu jawatankuasa khas dianggotai Penyelaras DUN Kota Damansara, ahli majlis dan pegawai MBPJ akan sentiasa mengadakan perbincangan bersama penduduk bagi mengenal pasti masalah sebelum ia menjadi kritikal,” katanya.

Terdahulu, satu dialog antara pentadbiran negeri bersama penduduk PPR Lembah Subang diadadakan bagi membincangkan kemelut pengurusan PPR itu.

Sebelum ini, kemelut pengambilalihan PPR Lembah Jaya berpunca daripada campur tangan Kerajaan Persekutuan yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal melakukan kerja penyelenggaraan dan pembersihan di kawasan itu.