Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Komited iktiraf budaya kerja cemerlang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited mengiktiraf budaya kerja cemerlang dan jasa kakitangannya dengan menyediakan pelbagai anugerah serta ganjaran bagi memberikan galakan ke arah peningkatan kualiti kerja terpuji.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diadakan itu adalah bentuk penghargaan kepada warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Melalui APC, diharap ia dapat dijadikan motivasi kepada kakitangan untuk terus memberikan komitmen serta daya usaha mempertingkatkan produktiviti serta mutu kerja berkualiti tinggi.

“Ia sekali gus dapat menjadikan perkhidmatan awam kekal sebagai perkhidmatan relevan dan diyakini masyarakat serta menepati kehendak dan ekspetasi mereka,” katanya dalam majlis penyampaian APC 2016 di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menyampaikan anugerah kepada 129 kakitangan MBSA.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir; Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Shukri Mohamad Hamin serta hadirin lain.

Ahmad Zaharin berkata, pemberian anugerah itu bukan sekadar pendorong dan pengiktirafan bahkan dalam skop lebih luas menjadikan kakitangan lebih kreatif, inovatif serta sebagai peneraju perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan di kalangan warga kerja MBSA.

“Cemerlang bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi juga perkhidmatan bersih dan berintegriti.

“Seorang penjawat awam perlu menumpukan seluruh usaha dan tenaga ke arah penyampaian perkhidmatan efisien, berkualiti dan telus bagi memastikan matlamat disasarkan tercapai.

“Perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan masyarakat perlu dilihat sebagai perkhidmatan sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama dalam setiap praktisnya,” katanya.

=EZY=