Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 pelajar sertai STEM- Teknologi Robotik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri hari ini merasmikan Program Pendidikan STEM – Teknologi Robotik melibatkan lebih 1,000 pelajar daripada 80 sekolah rendah dan menengah seluruh Selangor.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan lanjutan daripada Program STEM Robotik di 25 sekolah terpilih, yang dilaksanakan tahun lalu.

Katanya, program kelolaan Creative Minds itu membolehkan pelajar mendalami Sains dan Matematik secara unik dan menyeronokkan.

“Pogram STEM Robotik kali ini menumpukan pembelajaran mengenai beberapa aspek penting termasuk ‘data logging’ dan tenaga pembolehubah (renewable energy).

“Pembelajaran mengenai tenaga pembolehubah ini merangkumi 15 peratus dari matapelajaran Sains di sekolah.

“Melihat peserta dan pelajar melaksanakan apa yang mereka belajar secara ‘hands on’ amat dibanggakan,” katanya menerusi teks dibaca Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat, Fazlina Hashim.

Bertempat di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), majlis disempurnakan Fazlina dan turut dihadiri Pengetua Creative Minds, Muhammad Shafiq Shahrul Amar.

Nik Nazmi berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan STEM sebagai alat pendidikan abad ke-21 bagi mewujudkan hubungan baik di antara institusi pendidikan, industri dan masyarakat.

“Saya amat berbangga dapat menjalankan program STEM ini secara meluas dan berharap rakyat Selangor dapat menikmati faedah berterusan.

“Diharap usaha ini juga membuka jalan untuk Selangor menjadi hab inovasi pendidikan STEM seterusnya menjayakan misi negeri ini bergelar Smart State menjelang 2025,” katanya.

=EZY=