Categories
SELANGOR

Lori baru selesai isu kutipan sampah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Penyediaan kompaktor baru oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) dijangka mampu menyelesaikan isu kutipan sampah di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam tempoh tiga bulan.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, KDEBWM mengambil maklum masalah dihadapi terutama keadaan lori lama yang dimiliki kontraktor, namun pihaknya sudah menyiapkan 10 lori baru dan akan menyerahkannya, pada minggu depan.

“Kita mempunyai 44 kontraktor di Selayang dan mereka menggunakan lori sendiri tetapi kebanyakannya adalah lori lama dan tidak boleh mampatkan sampah dengan kapasiti banyak.

“Ada syarikat terpaksa menggunakan roro tetapi tidak besar. Dalam sebulan ini, kita sedang mengenal pasti peralatan sesuai di Selayang,” katanya.

Ramli berkata, sejak mengambil alih tanggungjawab mengutip sisa pepejal dan domestik pada 1 Mac lalu, KDEBWM meminta tempoh menyelesaikan masalah peralatan terlebih dahulu seperti di Klang dan Ampang Jaya.

RAMLI TAHIRKatanya, pasukan sokongan turut digerakkan bagi membantu melicinkan proses kutipan sampah dan optimis masalah itu mampu diselesaikan segera.

“Kalau semua lori baru sudah masuk ke kawasan, masalah ini akan selesai kerana lori baru berkapasiti besar mampu membawa minimum 10 tan sampah.

“Saya tidak mahu tutup mata dan leka tetapi perlu diberi peluang. Kita akan selesaikan masalah kutipan domestik,” katanya.

Menyentuh jadual kutipan sampah di Selayang, KDEBWM akan mengutip sampah kawasan domestik tiga kali seminggu, manakala kawasan komersil ditingkatkan dari enam hari kepada tujuh hari seminggu.

-AA-