Categories
KENYATAAN MEDIA

Mansuh AUKU, ubah mentaliti

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Saya membaca artikel dalam satu akhbar atas talian yang memaparkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai keupayaan universiti di Malaysia yang dikatakan mampu meraih kedudukan 20 terbaik di dunia menjelang tahun 2050.

Beliau begitu optimis menyatakan dengan reputasi semasa Institut Pengajian Tinggi dan ditambah usaha kementerian menjenamakan sistem pendidikan melalui pengenalan beberapa program, maka universiti di Malaysia mampu tersenarai dalam kedudukan 100 terbaik dalam Times Higher Education Ranking (THE) menjelang tiga tahun akan datang.

Sedangkan universiti negara jiran kita, National University of Singapore (UNS) mampu mendapat tempat ke-24.

Saya rasa kebanyakan rakyat tidak yakin dengan kenyataan Menteri ini, apatah lagi setelah Kerajaan Umno BN memotong peruntukan belanjawan IPTA, di tambah engan pengurangan bilangan pensyarah. Terdapat lima aspek utama dalam menentukan kedudukan mengikut THE, iaitu persekitaran pembelajaran (teaching), kuantiti dan kualiti penyelidikan (research), pengaruh rujukan penyelidikan (citations), perspektif antarabangsa (international outlook), dan penghasilan pada industri (industry income). Kesemua ini memerlukan wang dan juga tenaga kerja untuk memperkasakan kedudukan universiti.

Tidak perlu tunggu untuk situasi 33 tahun akan datang menjelang 2050, masa yang paling sesuai untuk bertindak adalah sekarang dengan;

1. Kementerian harus tegas untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menekan prinsip kebebasan dan demokrasi pelajar. Pelajar bukanlah boneka mahupun robot yang hanya menurut arahan pemerintah dan hidup hanya belajar untuk mendapatkan pekerjaan.

EdmundPelajar harus diberi peluang untuk bersuara mengenai perihal politik, ekonomi mahupun polisi-polisi kerajaan. Diluar negara, sebahagian besar wacana ilmu dan pemikiran kritikal diusahakan oleh siswa siswi. Pelbagai pertubuhan ideologi diwujudkan, dibahaskan dan mengukuhkan tahap intelek mahasiswa.

Tidak ada guna jika universiti masih berfikiran jumud yang menyatakan universiti hanyalah tempat menuntut ilmu untuk pekerjaan. Bagaimana universiti boleh jadi kilang buruh, kalau hari ini pun seramai 250 ribu graduan masih menganggur?

2. Kementerian perlu memberi dana kepada pelajar untuk menjalankan pelbagai penyelidikan di negara kita. Universiti-universiti negara maju menekankan pembangunan penyelidikan, malah berbangga meletakkan hasil kajian dalam laman sesawang universiti mereka.

Saya melihat universiti Malaysia mempunyai potensi dalam mewujudkan penyelidikan baharu, misalnya penggunaan ubat-ubatan tradisional yang diamalkan oleh kaum orang asli dalam industri perubatan negara.
Malangnya, ketiadaan dana sebabkan ramai pelajar intelek lari ke luar negara untuk melaksanakan penyelidikan, dan akhirnya istilah ‘brain drain’ berlaku.

3. Peranan universiti dan pelajar-pelajar untuk mengubah mentaliti dalam membawa universiti ke peringkat tertinggi. Universiti tempatan perlu memberi ruang kepada kritikan daripada pensyarah, kakitangan dan pelajar sendiri.

Calon PhD perlu diberi peluang untuk menghasilkan kajian yang berkualiti dan tidak dihalang untuk mengkritik pihak-pihak tertentu untuk kebaikan bersama. Penggunaan teknologi juga perlu diperluaskan, dengan konsep ‘e-learning’ dijadikan platform baharu yang memudahkan penyampaian dan perlaksanaan tugasan.

Adalah lebih baik kepada pelajar, sekiranya ‘confession online’ IPTA di laman sosial lebih membincangkan hal-hal kritikal dan intelektual berbanding berkongsi kisah yang tidak memberikan manfaat bersama.

*Dato’ Seri Dr Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN