Categories
SELANGOR

MB: Khidmat saya untuk semua tetapi Noh untuk Umno sahaja

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 APRIL: Semangat memberi perkhidmatan terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik terus membara walaupun hampir setiap malam diserang oleh rangkaian media kawalan kerajaan Umno-BN.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berbeza dengan sikap Menteri Kerajaan Persekutuan yang tidak profesional secara terang-terangan mengaku mahu meminggirkan kawasan yang tidak dikuasai Umno.

“Seperti YB Gobind Singh sebut kita dibuli setiap hari. Setiap 8.00 malam saya diserang oleh orang seperti (Datuk Seri) Jamal, (Tan Sri) Noh Omar.

“Semalam dia buat kenyataan tidak ada peruntukan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tiada Umno. Maknanya kalau PBT itu ahli parlimennya bukan Umno-Barisan Nasionali, tiada lagi peruntukan Persekutuan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Perayaan Vasakhi Peringkat Negeri Selangor 2017 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.

Jelasnya, Noh harus ingat bahawa Selangor menyumbang sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, Kerajaan Selangor sentiasa mengamalkan prinsip kurangkan bercakap dan lebihkan kerja untuk meningkatkan taraf kehidupan semua lapisan rakyat.

=EZY=