Categories
PBT SELANGOR

MPAJ giat selenggara kawasan banjir lumpur

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 28 APRIL: Banjir lumpur dan hakisan cerun di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang kerap berlaku beberapa bulan ini sedang giat dinaik taraf.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, terdapat 25 kawasan memerlukan tindakan segera termasuk milik persendirian.

Katanya, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan.

“Antara kawasan yang dinaik taraf termasuk Taman Tasek Tambahan, Jalan Pandan Utama, Jalan Pandan Indah, Taman Putra Sulaiman, Taman Melawati, Cheras Baru dan Taman Kencana.

“Manakala bagi kawasan milik persendirian, MPAJ sudah meminta pihak terbabit mengambil tindakan segera dan pihak kami akan memantau dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPAJ, di sini.

ydp-mpaj-abd-hamid-hussainAbd Hamid turut menggesa Kerajaan Negeri untuk membantu pihaknya melaksanakan kerja menaik taraf di Jalan Pandan Utama, Jalan Pandan Indah dan Jalan Putra 4 yang menyebabkan banjir kilat ekoran tidak mempunyai saliran sempurna.

Katanya, RM22 juta diperlukan bagi proses menaik taraf saliran terbabit dan cadangan sudah dihantar kepada Kerajaan Negeri.

“Permohonan sudah dihantar kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kita berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan peruntukan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, antara punca kawasan terbabit mengalami hakisan dan banjir lumpur termasuk pembinaan lebuh raya, limpahan air dari hujan lebat, kolam takungan yang tidak dapat menampung kapasiti hujan, tembok pecah dan saliran tidak sempurna.